45 guru hadiri Program Rintis Minggu Kesedaran Kesihatan Reproduktif

45 guru hadiri Program Rintis Minggu Kesedaran Kesihatan Reproduktif

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Nov – Seramai 45 orang guru dari sekolah-sekolah menengah dan pusat tingkatan enam (PTE) di bawah Kluster 5, Jabatan Sekolah-sekolah, telah dipilih untuk menghadiri sesi latihan bagi Program Rintis Minggu Kesedaran Kesihatan Reproduktif 2015 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 12 November, di PTE Tutong.

Guru-guru berkenaan adalah dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Sekolah Menengah Muda Hashim dan PTE Tutong.

Tujuan sesi latihan ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan asas kalangan peserta mengenai Jangkitan Hubungan Kelamin (STI) termasuk HIV dan AIDS, kehamilan remaja serta isu-isu berkaitan.

Sesi latihan petang tadi telah melibatkan taklimat mengenai penyakit STI yang disampaikan oleh Dr. Zuhrini binti Haji Kahan dan diikuti dengan taklimat mengenai Kehamilan Remaja yang disampaikan oleh Dr. Hajah Roslin binti Haji Sharbawi dan Isu-Isu Sosial Remaja di Negara Brunei Darussalam oleh Dayang Nurul Nazurah binti Jaya.

Selain daripada itu sepanjang latihan ini turut mengongsi langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan dalam mencegah dan mengawal STI termasuk HIV dan AIDS, dan kehamilan remaja di negara ini serta mengongsikan teknik-teknik mengelakkan faktor-faktor dan situasi yang boleh mendorong kepada melakukan hubungan kelamin.

Dr. Zuhrini ketika menyampaikan taklimat mengenai Penyakit Hubungan Kelamin (STI).
Dr. Zuhrini ketika menyampaikan taklimat mengenai Penyakit Hubungan Kelamin (STI).
Antara guru-guru yang terpilih dari sekolah-sekolah menengah dan pusat tingkatan enam di bawah Kluster 5 menghadiri sesi latihan di PTE Tutong.
Antara guru-guru yang terpilih dari sekolah-sekolah menengah dan pusat tingkatan enam di bawah Kluster 5 menghadiri sesi latihan di PTE Tutong.

Latihan itu juga melibatkan peserta-peserta dalam merangka aktiviti yang menjurus kepada kesedaran kesihatan reproduktif bagi pelajar-pelajar di sekolah masing-masing dalam masa seminggu program tersebut.

Setelah menamatkan sesi latihan ini, para peserta terlatih akan mengadakan program Rintis Minggu Kesedaran Kesihatan Reproduktif bagi pelajar-pelajar Tahun 7 di sekolah masing-masing bagi meningkatkan kesedaran para pelajar mengenai STI dan kehamilan remaja serta keburukannya kepada masa depan mereka selain membimbing kemahiran mengelak diri daripada melakukan hubungan kelamin di usia remaja.

Program ini merupakan salah satu aktiviti susulan yang telah dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin sekolah menengah yang telah mengikuti Bengkel Kebangsaan Kesihatan Reproduktif bagi Pemimpin-Pemimpin Sekolah Menengah pada 28 dan 29 Januari lalu.

Bengkel ini adalah selaras dengan Rangka Tindakan Promosi Kesihatan Reproduktif 2015 yang dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA