$45 juta cukai tertunggak

$45 juta cukai tertunggak

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Dalam usaha memantapkan proses pengutipan cukai, jabatan-jabatan bandaran pada masa ini bekerjasama dengan pihak Pejabat Peguam Negara dalam membuat tindakan wajar ke atas pemilik-pemilik bangunan yang masih belum membayar jumlah tunggakan cukai tahunan mereka.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar) menjelaskan, sebelum tindakan undang-undang diambil, pemilik-pemilik bangunan juga diberikan peluang untuk berbincang dengan jabatan-jabatan bandaran bagi menyelesaikan masalah pembayaran.

Yang Berhormat Pehin menekankan, jika peringatan terakhir telah dikeluarkan dan masih belum membuat pembayaran, Jabatan Bandaran akan memohon kerjasama pihak Pejabat Peguam Negara untuk mengeluarkan Surat Tuntutan (Letter of Demand).

Bagi kawasan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, sejak Oktober 2015 sehingga bulan Februari 2016, sebanyak 121 kes yang melibatkan tunggakan telah dihadapkan ke Pejabat Peguam Negara bagi mengeluarkan Surat Tuntutan.

Semasa mengulas persoalan mengenai kutipan cukai tahunan yang masih tertunggak yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Ja’afar pada persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata bagi tahun kewangan 2015/2016, jumlah tunggakan terkumpul bagi ketiga-tiga Jabatan Bandaran mencecah sehingga $45.08 juta.

pg01_160316_b

pg01_160316_MMN_LogoSehingga 31 Januari 2016, sebanyak $6.3 juta sahaja yang berjaya dikutip dan masih berbaki $38.78 juta iaitu Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mempunyai jumlah tunggakan sebanyak $41.41 juta dan daripada jumlah tersebut, sejumlah $5.41 juta telah berjaya dikutip.

Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria mempunyai jumlah tunggakan sebanyak $3.64 juta di mana sejumlah $0.89 juta telah berjaya dikutip, manakala itu, Jabatan Bandaran Tutong mempunyai jumlah tunggakan $25,190.98 dan daripadanya sejumlah $2,782 telah berjaya dikutip.

Menurut beliau, memang ramai pemilik bangunan yang masih mempunyai tunggakan cukai tahunan yang belum dijelaskan. Jumlah akaun pemilik-pemilik yang mempunyai tunggakan bagi ketiga-tiga jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ialah sebanyak 2,314, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria mempunyai sebanyak 604 akaun dan Jabatan Bandaran Tutong sebanyak 14 akaun.

Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan mengenai peningkatan pengutipan cukai di negara ini sejak satu Jawatankuasa khas untuk mengutip tunggakan cukai bangunan ditubuhkan di Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan pada 17 Oktober 2015 lalu.

“Sejak ia ditubuhkan hingga 29 Februari 2016, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan telah berjaya mengutip cukai bangunan sebanyak $8,507,339.61 di mana dari jumlah tersebut sejumlah $3,910,375.27 adalah bayaran bagi tunggakan cukai bangunan, yang menunjukkan kenaikan dari tahun sebelumnya.

“Bagi kawasan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, sebanyak 253 akaun tunggakan yang melibatkan jumlah tunggakan $5,645,222.02 telah membuat perjanjian untuk membuat pembayaran ansuran di mana sejauh ini jumlah tunggakan yang telah berjaya dikutip adalah sejumlah $1,220,664.23 iaitu sebanyak 18.1 peratus,” ujar Yang Berhormat Pehin pada hari kelapan Majlis Mesyuarat Negara bersidang hari ini.

Dengan kerjasama pemilik-pemilik bangunan berkenaan, ujar beliau, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan telah dapat meningkatkan kutipan hasil cukai bangunan bagi tahun kalendar 2015 dan juga bagi tahun kewangan 2015-2016 .

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan Bandaran akan terus berusaha untuk menyelesaikan isu tunggakan cukai bangunan dan mengambil langkah-langkah pembaikan iaitu mengadakan permuzakarahan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan, memperkasakan dasar serta prosedur tuntutan dan kutipan cukai bangunan, memperkasakan penguatkuasaan dan mengemas kini data maklumat pemilik-pemilik bangunan dan hartanah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

ARTIKEL YANG SAMA