45 murid Sekolah Arab Belait khatam Al-Quran

45 murid Sekolah Arab Belait khatam Al-Quran

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Sept – Seramai 45 orang Murid Tahun 6 Sekolah Arab Belait telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Dulamin.

Majlis tersebut dikendalikan agar murid-murid Tahun 6 akan dapat membaca Al-Quran sehingga khatam sebelum mereka memasuki pembelajaran di peringkat menengah tahun depan.

Selain itu, majlis juga dihasratkan supaya para pelajar di sekolah tersebut dapat mengkhatamkan bacaan seawalnya di peringkat rendah dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian, di samping itu juga boleh meningkatkan tahap pembacaan penuntut terutamanya dari segi fasahah (sebutan huruf) dan hukum tajwid.

Pengerusi majlis, merangkap Guru Besar Sekolah Arab Belait, Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali memberitahu Media Permata, majlis itu antara lain bertujuan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran seawal usia muda dan berterusan sampai bila-bila dan seterusnya akan mempraktikkan pembacaan.

Murid-murid Tahun 6 Sekolah Arab Belait yang diraikan dalam majlis khatam Al-Quran berkenaan.
Murid-murid Tahun 6 Sekolah Arab Belait yang diraikan dalam majlis khatam Al-Quran berkenaan.

Menurut beliau, pembacaan Al-Quran bagi pelajar-pelajar yang khatam berkenaan, telah mula dipraktikkan sejak mereka dalam Tahun 5, dengan
pemantauan daripada ‘indung angkat’ (terdiri daripada guru-guru) bagi mengikuti perkembangan pembacaan mereka.

“Latihan pembacaan diadakan dari pukul 1:30 petang, selain diadakan setiap hari, turut diadakan latihan khas pembacaan bermula bulan Ogos lalu dan peserta khatam Al-Quran juga telah diberikan latihan intensif selama tiga hari sebelum majlis hari ini berlangsung,” ujarnya.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas, diikuti dengan bacaan surah-surah oleh peserta khatam, bacaan takhtim oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Belait, dan diteruskan lagi dengan bacaan doa khatam oleh wakil peserta khatam, Awang Muhammad Yazid Zahiruddin bin Rabaee.

Kemudian, majlis turut diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Belait, sejurus sebelum acara penyampaian sijil khatam dan merenjis minyak wangi kepada peserta khatam yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA