450 mendaftar Larian Amal Belait

450 mendaftar Larian Amal Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Jan – Setakat ini, Jabatan Daerah Belait telah menerima sebanyak 450 pendaftaran bagi menyertai Larian Amal Daerah Belait 2016, yang akan berlangsung pada 24 Januari ini.

Jabatan itu, hari ini menyatakan, tarikh menerima pendaftaran telah ditutup kelmarin (5 Januari 2016), setelah dilanjutkan daripada tarikh tutup awal pada 7 November lalu dengan tarikh larian asal pada 22 November 2015.

Sehubungan itu, mereka yang telah mendaftar boleh mengambil baju larian pada 18 hingga 21 Januari ini di Tingkat Bawah, Jabatan Daerah Belait.

Larian anjuran Jabatan Daerah Belait dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait itu dibukakan kepada semua penduduk yang tinggal, bekerja dan bersekolah di Negara Brunei Darussalam, yang mana ia dijangka akan bermula dari Padang Bandaran serta dibahagikan kepada tujuh kategori.

Gambar fail Larian Amal Daerah Belait yang diadakan pada tahun 2014.
Gambar fail Larian Amal Daerah Belait yang diadakan pada tahun 2014.

Kategori-kategorinya termasuk 17 tahun ke bawah lelaki dan perempuan sejauh 5 kilometer, kategori terbuka lelaki dan wanita sejauh 9 kilometer, kategori veteran 45 tahun ke atas lelaki dan wanita sejauh 5 kilometer, dan kategori Fun Run sejauh 3.5 kilometer, dengan yuran penyertaan adalah antara $20 hingga $25 mengikut kategori penyertaan.

Ia antara lain bertujuan untuk mengutip dana bagi mengisikan Tabung Amal Daerah Belait dan Tabung Sukan Daerah Belait bagi pembangunan sukan Daerah Belait.

Di samping itu, ia juga adalah bagi menggalakkan dan mengumpulkan semua lapisan masyarakat di daerah ini khususnya akan melibatkan diri secara aktif menyertai kegiatan-kegiatan riadah sebagai salah satu usaha mengamalkan cara hidup yang sihat dan juga untuk mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan lapisan masyarakat yang berbilang kaum, keturunan dan bangsa di daerah ini khususnya dan di Negara Brunei Darussalam amnya.

ARTIKEL YANG SAMA