46% kompaun- lebih muatan

46% kompaun- lebih muatan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Pengangkutan Darat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Hampir separuh iaitu kira-kira 46 peratus daripada kira-kira 1,500 kompaun yang dikeluarkan bagi kenderaan komersial termasuk pengangkutan awam adalah atas kesalahan lebih berat muatan.

Statistik atau perangkaan hasil daripada sekatan dan rondaan yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) itu dikongsi oleh Ketua Bahagian Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan JPD, Awang Baha bin Haji Jamahat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JPD, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa seramai 11 orang pegawai penguatkuasaan, JPD yang diketuai oleh Awang Baha mengadakan operasi pemeriksaan di Pos Kawalan Labu, Temburong, kelmarin bermula dari jam 4 petang hingga 7 malam.

Turut serta dalam operasi berkenaan ialah Pengarah JPD, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi.

Operasi itu merupakan salah satu daripada operasi yang dilaksanakan sepanjang tahun bertujuan untuk memastikan semua pemandu kenderaan komersial mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan.

Lori balak ditahan oleh Pegawai Penguat kuasa JPD semasa operasi di Daerah Temburong atas sebab terlebih berat muatan dan tidak bersesuaian.
Lori balak ditahan oleh Pegawai Penguat kuasa JPD semasa operasi di Daerah Temburong atas sebab terlebih berat muatan dan tidak bersesuaian.

Menurut Awang Baha, Bahagian Penguatkuasaan JPD melaksanakan beberapa kaedah pemeriksaan termasuk sekatan jalan raya, rondaan / pemantauan, operasi di pos-pos kawalan, mengeluarkan notis panggilan hasil aduan-aduan orang ramai diterima melalui talian Darussalam 123 dan pesanan WhatsApp serta kenderaan berat yang membawa muatan lebih dibawa ke JPD.

Di samping itu juga, beliau berkata bahawa sekatan-sekatan atau rondaan turut dibuat tiga atau empat kali setiap minggu termasuk hari kelepasan awam dan waktu malam di mana pemantauan serta penelitian dibuat berkaitan dengan ‘kenderaan yang menjalankan aktiviti-aktiviti mengangkut penumpang tanpa lesen yang sah’.

Beliau menerangkan lagi bahawa kaedah ‘profiling’ juga dilaksanakan dan mereka yang disyaki dipanggil untuk tindakan bersesuaian.

Dalam kenyataan itu, Awang Baha turut mengongsi statistik hasil sekatan dan rondaan bagi kenderaan komersial bagi tiga tahun kebelakangan di mana kira-kira 1,500 kompaun telah dikeluarkan setiap tahun hasil daripada sekatan dan rondaan yang dibuat.

Daripada jumlah berkenaan kira-kira 46 peratus adalah bagi kesalahan lebih berat muatan, 16 peratus adalah bagi kesalahan membawa muatan membahayakan (berguguran, barang menganjur, tidak memasang pagar keselamatan), 12 peratus bagi kesalahan badan kenderaan dalam keadaan tidak baik (pintu, cermin, body work, nut tyre), sembilan peratus bagi kesalahan keadaan tayar tidak memuaskan iaitu botak, merekah atau koyak, dua peratus bagi kesalahan mengubah suai kenderaan iaitu tayar yang terkeluar dari mudguard serta 15 peratus bagi kesalahan-kesalahan lain termasuk tidak ikut akta atau peraturan, tidak membawa sijil kelayakan kenderaan komersial, dan sebagainya.

Sementara itu, bagi statistik aduan orang ramai yang diterima melalui talian Darussalam 123, sebanyak 171 aduan telah diterima pada 2015 di mana daripada jumlah itu, sebanyak 84 peratus daripadanya ialah kesalahan-kesalahan berkaitan pemandu seperti memandu lebih had laju, gagal berhenti ketika lampu isyarat merah, memberhentikan penumpang bukan tempat dikhaskan dan membuat pusingan U haram, sebanyak sembilan peratus bagi muatan berguguran/mengotorkan jalan raya serta tujuh peratus pula bagi badan kenderaan dalam keadaan tidak baik.

Manakala itu, statistik aduan orang ramai yang diterima melalui pesanan WhatsApp dari bulan Jun hingga Disember 2015 adalah sebanyak 103.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus daripadanya adalah bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dengan kelibat pemandu seperti gagal berhenti ketika lampu isyarat merah, membuat pusingan U haram dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, 20 peratus bagi mengubahsuai kenderaan dan 10 peratus bagi badan kenderaan tidak dalam keadaan baik.

Awang Baha turut mengongsi bahawa pada 2015, Pos Kawalan Labu mencatatkan kemasukan lebih kurang 12,251 buah kenderaan komersial di mana daripada jumlah itu, sebanyak 48 buah kenderaan telah diarah berpatah balik kerana lebih berat muatan dan 217 kompaun dikeluarkan di atas beberapa kesalahan.

Beliau juga dipetik menyatakan bahawa melalui sekatan-sekatan bersepadu, rondaan-rondaan, aduan-aduan diterima pihak Penguatkuasaan JPD telah memanggil pemilik-pemilik kenderaan dan pemandu-pemandu yang terbabit untuk sebarang tindakan bersesuaian seperti ujian semula Highway Code, taklimat dan pemeriksaan semula kenderaan yang terbabit.

Saranan/peringatan kepada pemandu/ pemilik kenderaan yang dipanggil untuk datang ke JPD bagi mengelakkan sebarang tindakan lebih lanjut diambil dan juga untuk membuat pembayaran pada tempoh yang telah ditetapkan bagi pemilik atau pemandu yang belum menjelaskan pembayaran sebelum ini.

Dalam mempertingkatkan lagi sistem dan kaedah penguatkuasaan JPD dan di samping program pemeriksaan bergerak dengan mengeluarkan notis panggilan yang diperkenalkan sejak Jun 2015, JPD akan mempertingkatkan lagi usaha-usaha dan kaedah-kaedah yang sedia ada dengan perancangan yang antara lainnya akan memperkenalkan nombor telefon bimbit (mobile) khas untuk memudahkan orang ramai melaporkan sebarang kesalahan kenderaan dan pemandu.

ARTIKEL YANG SAMA