46 maut dibunuh pencuri ternakan

46 maut dibunuh pencuri ternakan

NAIROBI, 5 Mei (AFP) – Sekurang-kurangnya 46 orang telah dibunuh dan yang lain lagi cedera apabila pencuri ternakan menyerang sebuah kampung di utara Kenya, menurut laporan hari ini.

“Serangan itu berlaku di zon paling terpencil,” pegawai tempatan Osman Warfa memberitahu akhbar Daily Nation.

Lelaki bersenjata daripada etnik Turkana adalah disyaki melancarkan serangan itu semalam ke atas etnik Pokot, kampung berdekatan dengan Nadome di sepanjang sempadan daerah Turkana-East Pokot, sebuah kawasan di mana terdapatnya konflik maut antara dua komuniti.

Warfa, yang merupakan pesuruhjaya serantau Rift Valley, mengatakan 46 orang terbunuh dan jumlah bilangan ternakan yang dicuri tidak diketahui, sementara polis serta tentera Kenya sedang memburu penyerang berkenaan.

Pegawai lain, pesuruhjaya mukim Baringo, Peter Okwanyo mengatakan serangan hari ini diikuti oleh serangan sebelumnya oleh pahlawan Pokot di kampung Turkana yang mana 100 ekor kambing telah dicuri.

“Ini adalah serangan provokatif,” kata Okwanyo, menggesa pasukan keselamatan untuk “memburu dan menangkap pesalah itu untuk mematahkan ketegangan yang memuncak.”

ARTIKEL YANG SAMA