46 pelajar baru ITB hadiri orientasi

46 pelajar baru ITB hadiri orientasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Seramai 46 pelajar baru program Sarjana dan PhD Institut Teknologi Brunei (ITB), hari ini, telah menghadiri orientasi sebelum memulakan pengajian mereka di ITB dalam pelbagai bidang.

Majlis orientasi berkenaan berlangsung di Concourse ITB dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Dekan Pengajian dan Penyelidikan Lepasan Ijazah, Profesor Guo Zhenren, dalam ucapan alu-aluannya berkata, seramai 46 orang pelajar baru mengikuti program lepas ijazah di ITB pada Januari 2016.

Daripada jumlah itu, tambah beliau, lima mengambil program PhD, lima mengikuti program Sarjana dalam Penyelidikan dan 36 lagi dalam program Sarjana Pengajaran (Taught Master). Ini membawa jumlah pelajar lepas ijazah di ITB kepada 70 iaitu 10 PhD, 24 Sarjana dalam Penyelidikan dan 36 Sarjana Pengajaran.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ITB telah memperkenalkan lima program Sarjana Pengajaran bagi tahun ini, iaitu MSc dalam Pengurusan dan Teknologi serta MSc dalam Sumber-sumber Air dan Kejuruteraan Alam Sekitar yang bermula Januari 2016.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah diperkenalkan kepada penuntut baru ITB.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah diperkenalkan kepada penuntut baru ITB.
Gambar ramai pelajar Sarjana dan PhD bersama tetamu kehormat serta tenaga pengajar semasa orientasi hari ini.
Gambar ramai pelajar Sarjana dan PhD bersama tetamu kehormat serta tenaga pengajar semasa orientasi hari ini.

Manakala itu, MSc dalam Pengkomputeran dan Sistem Maklumat, MSc dalam Kejuruteraan Sistem Jana Kuasa Elektrik dan MSc dalam Kejuruteraan Mekanikal akan bermula pada Ogos 2016. Tempoh pengajian bagi kesemua program ini adalah 12 bulan.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah dalam ucapannya telah mengongsikan dengan para pelajar baru mengenai aspirasi ITB untuk menjadi antara 10 universiti kejuruteraan dan teknologi terbaik di Asia Tenggara menjelang 2018.

Beliau menekankan bahawa salah satu faktor dalam mencapai wawasan ini adalah untuk membangunkan dan memupuk pelajar yang serba berkebolehan dengan tanggungjawab sosioekonomi dan nilai-nilai MIB.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pelajar supaya menjadikan pengalaman di ITB sebagai asas idea-idea hebat, penemuan hebat dan inovasi-inovasi hebat.

Menurut kenyataan berkenaan, majlis orientasi diadakan dengan tujuan untuk mengalu-alukan dan menyediakan peluang bagi pelajar sedia ada dan baru saling kenal-mengenali, bertukar-tukar pengalaman akademik dan pengetahuan serta membiasakan diri mereka dengan sistem dan kemudahan yang terdapat di sana.

Semasa orientasi itu, para pelajar juga mendengar taklimat yang disampaikan oleh perwakilan-perwakilan dari Pejabat Pengajian dan Penyelidikan Lepas Ijazah, Hal Ehwal Pelajar, Pusat ICT dan Perpustakaan ITB mengenai perkhidmatan-perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pejabat masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA