46 Pelajar China ikuti pengajian BI Intensif

46 Pelajar China ikuti pengajian BI Intensif

KOTA KINBALU, 19 Okt – Seramai 46 pelajar China akan memulakan Program Persediaan Intensif Bahasa Inggeris (IEPP) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bulan ini.

Pelajar yang berumur antara 18 hingga 25 tahun itu akan mengikuti program intensif selama empat bulan sebagai memenuhi keperluan kemasukan untuk mengikuti kursus peringkat sarjana muda dan sarjana di universiti berkenaan.

“Program tahunan ini dilancarkan pada 2006 oleh Pusat pelaburan UMS untuk Pembangunan Profesional (UCPD),” kata pengerusi kumpulan UMS Investment Holdings Sdn Bhd Datuk Ag. Buhtamam Ag. Mahmun dalam ucapan aluan kepada kumpulan ke-27 pelajar IEPP di sini, hari ini.

Ag Buhtamam berkata kadar kejayaan program itu mencapai tahap 80 hingga 85 peratus.

Sehubungan itu beliau meluahkan harapan program itu mencapai kadar kejayaan yang tinggi kalangan pengambilan baru tahun ini.

Para pelajar dikehendaki lulus peperiksaan dalam bahasa Inggeris untuk tujuan akademik, bacaan dan penulisan, nahu dan tatabahasa, mendengar dan perbualan dan pengucapan awam untuk layak meneruskan pengajian peringkat lebih tinggi.

Mereka dijangka meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan, perakaunan atau pengurusan sumber manusia selepas menamatkan program IEPP. IEPP telah menerima kira-kira 1,280 pelajar dari pelbagai negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Turki dan China sejak sembilan tahun lalu. – Bernama