46 pelajar terima Biasiswa ALAF BIBD

46 pelajar terima Biasiswa ALAF BIBD

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Seramai 46 penerima Anugerah Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Program ALAF BIBD 2016 yang berdaftar di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan serta tujuh pelajar berkeperluan khas dari Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan menerima anugerah BIBD ALAF mereka, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada para penerima pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Selain daripada penyampaian anugerah, majlis itu juga diteruskan dengan penyampaian replika cek berjumlah $7,645 kepada BIBD yang diserahkan oleh Progresif Cellular Sdn Bhd.

Hasil kutipan tersebut berjaya diperoleh dalam kempen SMS ALAF BIBD yang diadakan selama sebulan pada bulan November 2015 yang lalu.

Untuk meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sokongan ke arah Program ALAF, Progresif memaklumkan kempen kedua SMS ALAF BIBD oleh Progresif akan bermula pada awal bulan Mac 2016.

Tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Program ALAF BIBD bagi Tahun Akademik 2016 kepada 46 orang pelajar.
Tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Program ALAF BIBD bagi Tahun Akademik 2016 kepada 46 orang pelajar.

Orang ramai bolehlah menderma kepada Program ALAF melalui SMS dengan menaip ALAF dan jumlah $1, $5, $10, $15 atau $20 dan menghantarkannya kepada 38988.

Melalui Program ALAF itu, BIBD berharap akan dapat menyokong Wawasan 2035 untuk memberikan peringkat 100 peratus pendidikan kepada semua orang, yang diharap untuk mengurangkan kemiskinan.

Orang ramai yang ingin menderma ke tabung BIBD ALAF juga boleh membuat derma sekurang-kurangnya $1.01 ke akaun BIBD ALAF 1018181811.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menggunakan laman sesawang BIBD, aplikasi mobile BIBD, ATM BIBD dan mesin tunai atau di kaunter-kaunter di mana-mana cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh membuat arahan tetap (Standing Instruction) BIBD untuk memastikan sumbangan bulanan kepada Tabung ALAF.

Para pemegang akaun BIBD juga boleh mengumpulkan Hadiah Points BIBD untuk ditukar kepada wang tunai dan disumbangkan kepada akaun Tabung ALAF.

Majlis pada pagi itu diteruskan lagi dengan penyampaian biasiswa ALAF yang diikuti dengan penandatanganan perjanjian biasiswa di antara penerima dengan BIBD.

Menandatangani bagi pihak BIBD ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan yang juga ketua CSR BIBD manakala menandatangani bagi pihak penerima ialah ibu bapa dan penjaga masing-masing sambil disaksikan oleh setiap wakil guru besar dan pengetua sekolah masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA