46 stesen pemancar dinaik taraf LTE

46 stesen pemancar dinaik taraf LTE

LABUAN, 16 Okt (Bernama) – Sebanyak 46 stesen pemancar telekomunikasi akan dinaik taraf kepada evolusi jangka panjang (LTE) bagi membolehkan kelajuan penembusan jalur lebar di pulau bebas cukai ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak berkata pelaksanaan kerja-kerja naik taraf itu sedang rancak dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Beliau berkata selain itu, 12 stesen pemancar baharu turut dibina di bawah perancangan komersil syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi Celcom, DiGi dan Maxis yang dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.

“Ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan setiap pelosok tanah air mendapat liputan dan kelajuan kemudahan Internet, selain ia penting dalam menarik pelaburan selari dengan status Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa serta minyak dan gas.

“Saya akan memberi perhatian khusus kepada Labuan,” katanya ketika merasmikan Hari Anugerah Inovasi 2015 hari ini.

Salleh berkata sebanyak 2,952 port baharu akan diwujudkan melalui program Fasa 2 Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) dan 2,496 port baharu di bawah program Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB).

“Penduduk Labuan bakal menikmati perkhidmatan UniFi yang menawarkan kelajuan jalur lebar bermula 5Mbps sehingga 100Mbps.

Pelaksanaan projek oleh Telekom Malaysia Bhd ini telah dimulakan dan dijangka siap pada tahun 2017,” katanya. Beliau berkata kadar penembusan jalur lebar di Labuan telah mencapai 76.1 peratus pada suku kedua tahun ini.