47 pegawai ikuti Kursus Fiqh As-Sholah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seramai 47 orang pegawai kerajaan yang dicalonkan oleh ketua-ketua jabatan menyertai kursus pengukuhan Islam iaitu Kursus Fiqh As-Sholah yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

Kursus berterusan anjuran Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, PDI itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai rukun Islam yang kedua (sembahyang) dan meningkatkan kefahaman mengenai hukum-hakam sembahyang.

Selain itu, ia juga bersesuaian dengan Mazhab Syafie dengan peribadatan yang sempurna dan menghalusi bacaan dan tatacara (praktikal) dalam ibadah sembahyang.

Para pegawai yang menyertai Kursus Fiqh As-Sholah selama empat hari di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah.

Kursus berkenaan akan menyentuh mengenai pengertian sembahyang (As-Sholah), rukun-rukun sembahyang dan sunat sembahyang, perkara makruh dan perbezaan lelaki dan perempuan dalam sembahyang, perkara-perkara yang membatalkan sembahyang, sembahyang berjemaah muafik dan masbuk, sembahyang Jumaat,  sembahyang qasar dan jama’ dan menghalusi bacaan sembahyang serta praktikal sembahyang.

Dua orang tenaga pengajar terlibat bagi kursus kali ini ialah Awang Muskrisman Safari bin Haji Mustafa dan Hajah Noraini binti Haji Saman dari PDI.

PDI berharap dengan kursus itu, ia akan dapat memberi kefahaman, mengulang kaji pengetahuan yang ada dan meningkatkan kefahaman sedia ada untuk diamalkan dalam kehidupan dan menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah.