473 pelajar cemerlang terima anugerah

473 pelajar cemerlang terima anugerah

Oleh NAJ

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Kementerian Pendidikan meraikan seramai 473 pelajar cemerlang Institusi-Institusi Pendidikan Rendah dan Menengah Kerajaan Senegara dan Anugerah ‘Cambridge Outstanding Achiever’ Tahun 2014 dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas semalam.

Anugerah tahun ini merupakan gabungan kerjasama untuk kali pertama antara Jabatan Sekolah-Sekolah dan Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dan juga dengan kerjasama University of Cambridge International Examinations (CIE).

Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan anugerah-anugerah berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Daripada jumlah tersebut, seramai 72 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Cambridge, 100 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang BC GCE Peringkat ‘A’ dan 75 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang BC GCE Peringkat ‘O’.

Manakala seramai empat pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang BTEC Level 2 Extended Certificate, 220 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Sekolah Rendah (PSR), dua pelajar menerima Anugerah Khas.

pg12_150504_b

Antara pelajar yang diraikan dalam majlis itu semalam.
Antara pelajar yang diraikan dalam majlis itu semalam.

Sementara itu, 72 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Cambridge terdiri daripada lima pelajar yang memperolehi pencapaian Tertinggi Di Dunia (Top in the World), 30 pelajar memperolehi pencapaian Sepuluh Tertinggi Di Dunia (Top Ten in the World), manakala 58 pelajar memperolehi pencapaian Tertinggi Di Brunei Darussalam (Top in Brunei Darussalam).

Acara ini bertujuan memperakui dan mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PSR Tahun 2014 dan pencapaian terunggul dalam peperiksaan BC GCE Peringkat ‘0’, ‘AS’ dan ‘A’ Tahun 2014 dalam pelbagai mata pelajaran dengan anugerah; Tertinggi Di Dunia, Sepuluh Tertinggi Di Dunia, Tertinggi Di Negara Brunei Darussalam, Pencapaian Tertinggi (High Achievement) dan ‘Best Across’.

Majlis seperti ini juga diharapkan akan dapat menyuntik semangat pelajar-pelajar lain yang akan menduduki peperiksaan PSR, ‘0’, ‘AS’ dan ‘A’ Level akan datang dengan lebih banyak lagi pelajar-pelajar akan memperolehi pencapaian cemerlang yang dapat memberikan kebanggaan kepada ibu bapa, keluarga, sekolah, masyarakat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA