48 buah keluarga dibantu

48 buah keluarga dibantu

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Rombongan khidmat masyarakat bersama  Kumpulan Belia  Syababurroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah meneruskan kunjungan mereka ke Daerah Brunei dan Muara iaitu di sekitar Kampung Junjongan dan juga STKRJ Kampung Lumapas A bagi mengagih-agihkan pakaian dan juga makanan asasi seperti beras, gula, tepung, minyak masak, alat pembersih dapur dan lain-lain kepada 48 buah keluarga yang kurang berkemampuan.

Barang-barang yang diagihkan itu adalah hasil sumbangan orang ramai yang dikutip melalui program khidmat masyarakat mereka sempena sambutan awal Tahun Hijrah 1438, yang bermula pada 25 September hingga 4 Oktober lalu.

Menurut Mudim Haji Suhaili bin Haji Kalong, selaku Urusetia Penyelenggara Khidmat Masyarakat Bersama Kumpulan Belia Syababurroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kempen khidmat masyarakat yang bertemakan ‘Mulianya Berbagi’ itu, telah mendapat sambutan yang luar jangkaan.

“Malah pihak urusetia khidmat masyarakat tersebut merasa kagum atas sumbangan yang diberikan melalui sumbangan orang-orang perseorangan, persatuan, sekolah-sekolah, syarikat-syarikat, jabatan-jabatan dan lain-lain turut sama menghulurkan bantuan berupa pakaian dan makanan asasi,” katanya kepada Media Permata.

Menurut Haji Suhaili, pada 5 Oktober lalu, mereka telah mengagih-agihkan sumbangan kepada seramai 52 buah keluarga penerima di Daerah Tutong dan Belait yang meliputi kawasan RPN Kampung Lumut, Kampung Lumut, Kampung Merangking, Kampung Sungai Mau dan RPN Kampung Telisai.

Rombongan khidmat masyarakat bersama  Kumpulan Belia  Syababurroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah bergambar ramai bersama salah sebuah keluarga yang dibantu.
Rombongan khidmat masyarakat bersama  Kumpulan Belia  Syababurroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah bergambar ramai bersama salah sebuah keluarga yang dibantu.

 

Antara barangan asasi yang disumbangkan.
Antara barangan asasi yang disumbangkan.

Mereka juga turut menyalurkan sumbangan kepada 32 buah keluarga yang dikenal pasti kurang berkemampuan di RPN Kampung Serasa, Kampung Serasa Lama dan STKRJ Kampung Mata-Mata, Gadong pada 9 Oktober lalu.

Manakala penyampaian agihan juga disampaikan di pusat urusetia khidmat masyarakat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Beliau berkata, setakat ini program khidmat masya-rakat tersebut telah berjaya membantu mengagihkan sumbangan orang ramai tersebut bagi seramai  184 buah keluarga yang dikenal pasti kurang berkemampuan bagi menjalani kehidupan seharian.

Sehubungan itu, pihak pengurusan sukarelawan khidmat masyarakat bersama Kumpulan Belia Syaba-burroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang yang telah memberikan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini dan seterusnya memberikan sokongan kepada  usaha sukarelawan khidmat masyarakat yang buat julung-julung kalinya diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA