48 pelajar terima sijil SSRU

48 pelajar terima sijil SSRU

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Seramai 25 pelajar lelaki dan 23 pelajar perempuan Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS) diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSRU) Darjah 6 (2014) yang berlangsung di Bilik Persidangan, Pusat Kesenian sekolah tersebut, hari ini.

Daripada jumlah itu, 40 pelajar mendapat Gred Satu, lima lagi mendapat Gred Dua dan tiga mendapat Gred Tiga, dengan peratus kelulusan Peperiksaan SSRU bagi Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong untuk 2014 ialah 100 peratus.

Tiga orang pelajar terbaik yang mendapat Gred Satu dengan lima agregat ialah Hajah Nur Ruzana binti Haji Adnan, Dayang Amal Najihah binti Osmera dan Dayang Farah A’liyah binti Haji Amer Hishamuddin.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan sijil kepada para pelajar ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Rusita binti Haji Yahya, Pengetua JIS, Barnaby Sandow dan Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong, Hajah Noraidah binti Haji Tengah.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar
Antara persembahan dalam majlis penyampaian sijil itu.
Antara persembahan dalam majlis penyampaian sijil itu.

Dalam ucapannya, Hajah Noraidah berkata, sejak penubuhan sekolah agama itu jumlah pelajar telah meningkat kepada 233 orang bagi sesi 2015-2016, termasuk 65 orang pelajar Darjah 6 yang akan menduduki Peperiksaan SSRU, dijadualkan bermula pada 18 November 2015.

Menurut beliau, sekolah agama tersebut mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Bahagian Kurikulum Jabatan Pengajian Islam walaupun penggal persekolahan itu mengikut penggal persekolahan JIS yang bermula pada Ogos dan berakhir pada Julai.

Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh pihak sekolah pada sesi 2015-2016 seperti mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi pelajar Darjah 6, Sambutan Awal Tahun Hijrah, Maulidur Rasul, Hari Raya dan sambutan Hari Guru.

“Pihak sekolah agama juga telah berusaha menonjolkan bakat pelajar dengan mengikut peraduan-peraduan yang dianjurkan oleh Bahagian Ko-kurikulum Jabatan Pengajian islam di peringkat sekolah agama.

Majlis diserikan dengan persembahan Tausyeh oleh para pelajar sekolah agama itu.

ARTIKEL YANG SAMA