48 qari, qariah mara peringkat separuh akhir

48 qari, qariah mara peringkat separuh akhir

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Seramai 32 orang qari dan 16 qariah berjaya mara ke Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 2016 setelah memperoleh markah 80 peratus ke atas dalam peringkat suku akhir yang keseluruhannya disertai seramai 86 orang peserta.

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Suku Akhir Kebangsaan Tahun 2016, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali pada Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri, Jalan Kota Batu, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud yang turut menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada para qari dan qariah.

Dalam pengumuman itu, Pengiran Haji Haslin turut memberitahu bahawa pada keseluruhannya prestasi para peserta qari dan qariah di peringkat ini meningkat berbanding tahun lepas,

Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan cenderamata kepada qari dan qariah pada Majlis Musabaqah tersebut.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan cenderamata kepada qari dan qariah pada Majlis Musabaqah tersebut.

“Peningkatan dapat dinilai dari segi pembawaan lagu tarannum yang menarik, alunan suara dan pengaturan nafas yang terkawal di samping Mura’ah Ahkam Tajwid dan Fasahah yang baik khususnya hukum Al-Waqfu Wal Ibtida,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Majlis Musabaqah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Suku Akhir Kebangsaan Tahun 2016, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Idris bin Haji Aji dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, tujuan musabaqah ini adalah sebagai saringan atau tapisan bagi mencari calon qari dan qariah ke peringkat seterusnya.

Di samping itu, ia juga sebagai satu kaedah untuk mensyiarkan lagi agama Islam di negara ini sebagai sebuah Negara Zikir, yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan Tausyeh oleh Kumpulan Addhori’an.

ARTIKEL YANG SAMA