49 atlet bertanding

49 atlet bertanding

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Seramai 49 atlet yang mewakili tujuh pasukan olimpik khas dari lima negara Asia Pasifik mengambil bahagian dalam Kejohanan Bocce Olimpik Khas Asia Pasifik Kelima 2015 yang akan berlangsung selama tiga hari di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan kejohanan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pengerusi Persatuan Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam (SOBD), Haji Mahrub bin Haji Murni dalam ucapan alu-aluannya berkata, matlamat kejohanan itu adalah untuk memberikan pendedahan kepada atlet-atlet berkeperluan khas.

Ini kerana pendedahan yang diperoleh akan dapat membina keyakinan dan kemahiran mereka untuk sama-sama bersaing dalam bidang sukan arus perdana.

Katanya, SOBD juga berbangga dengan kejayaan atlet golfnya, Awang Ahmad Zharfan bin Ahmadiah, yang baru-baru ini telah mewakili Negara Brunei Darussalam untuk bertanding dalam perlawanan golf semasa Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi diperkenalkan kepada kontinjen SO Sri Lanka.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi diperkenalkan kepada kontinjen SO Sri Lanka.

“Adalah menjadi harapan saya agar atlet Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam yang berjaya mengharumkan nama negara di arena antarabangsa diberikan pengiktirafan yang setanding dengan atlet lain di bidang sukan,” ujar beliau.

Beliau menegaskan, pengiktirafan itu adalah dalam bentuk elaun insentif pencapaian pingat seperti yang diberikan kepada atlet negara setiap kali meraih pingat untuk negara.

Menurutnya lagi, pada tahun ini SOBD telah menghantar delegasi 11 atlet khas ke Los Angeles, Amerika Syarikat bagi menyertai Kejohanan Olmpik Khas Musim Panas Sedunia, dan mereka berjaya membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Manakala kejayaan terkini ialah atlet SOBD muncul juara dalam Kejohanan Piala Borneo yang berlangsung di Birau, Indonesia.

Kejohanan Bocce Olimpik Khas Asia Pasifik Kelima 2015 kali ini disertai oleh pasukan Olimpik Khas (SO) Brunei A, SO Brunei B, SO Pakistan, SO Bangladesh, SO Malaysia A, SO Malaysia B dan SO Sri Lanka.

ARTIKEL YANG SAMA