49 maut dalam nahas pesawat di Nepal

KATHMANDU, 12 Mac – Kira-kira 49 orang terkorban dan 23 yang lain tercedera ketika sebuah pesawat Bangladesh terhempas dan terbakar berhampiran di lapangan terbang Kathmandu, dalam bencana penerbangan paling buruk yang melanda Nepal hampir tiga dekad.

Para pegawai berkata seramai 71 orang telah berada di dalam pesawat US-Bangla Airlines dari Dhaka ketika terhempas di padang bola sepak berhampiran dengan lapangan terbang Kathmandu.

Para penyelamat terpaksa memecahkan rangka pesawat yang terbakar untuk menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa dari pesawat tersebut. “Seramai 31 orang terbunuh di tempat kejadian dan sembilan lagi mati semasa berada di dua hospital berasingan di Kathmandu,” kata jurucakap polis, Manoj Neupane kepada AFP, sambil menambah 23 yang lain tercedera.

Penyebab kemalangan itu tidak begitu jelas, tetapi kenyataan dari pihak berkuasa lapangan terbang menyatakan bahawa pesawat itu ‘tidak terkawal’ ketika jatuh ke tanah.

Saksi-saksi berkata pesawat itu terhempas ketika ia melakukan percubaan kedua untuk mendarat.

Anggota keselamatan Nepal semasa berada di kawasan nahas pesawat berhampiran lapangan terbang antarabangsa di Kathmandu kelamarin. – AFP

Jurucakap tentera Nepal, Gokul Bhandaree, berkata tujuh daripada mangsa telah terselamat namun kemudiannya maut akibat kecederaan yang mereka alami.

Kepulan asap hitam dapat dilihat dari padang bola sepak di mana pesawat itu terhempas, di kawasan timur landasan lapangan terbang antarabangsa Nepal, di ibu kota Kathmandu.

Jurucakap syarikat penerbangan, Kamrul Islam, memberitahu AFP bahawa 33 daripada penumpang adalah warga Nepal, 32 warga Bangladesh dan dua lagi masing-masing warga China dan Maldives.

Pesawat yang dibuat dari Kanada itu adalah Bombardier Dash 8 Q400 turboprop, kata jurucakap kementerian penerbangan awam Bangladesh, Mahbubur Rahman dari kepada AFP. Sumber lain mengatakan pesawat itu berumur 17 tahun.

“Mungkin terdapat masalah teknikal berlaku pada pesawat itu, tetapi ia akan disiasat terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan muktamad,” kata Rahman kepada AFP.

Kathmandu telah ditutup sementara akibat kemalangan itu, memaksa penerbangan berpatah balik, namun ia dibuka semula selepas itu.

US-Bangla Airlines adalah syarikat penerbangan swasta yang dilancarkan pada bulan Julai 2014 dengan moto ‘Terbang Laju Terbang Selamat’ (Fly Fast Fly Safe), menurut laman webnya. – AFP