49 PATI ditahan di Kota Kinabalu

49 PATI ditahan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 1 Feb – Polis menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di tiga rumah penginapan di sekitar pusat bandar ini, Khamis lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kesemua yang ditahan itu hasil daripada pemeriksaan terhadap 103 individu dalam operasi enam jam bermula 4 pagi di rumah penginapan Sinsuran, Bandaran Berjaya dan Segama di sini.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 19 dan 40 tahun. Semasa operasi, polis turut menahan empat individu yang didapati positif ujian air kencing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chandra berkata semua tahanan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu untuk didokumentasi dan saringan air kencing.

Beliau berkata tumpuan lokasi operasi ialah penempatan yang mempunyai sarang penagih dadah dan berpotensi terlibat dengan kegiatan jenayah.

Menurutnya, operasi yang berakhir pukul 10 pagi itu diketuai tiga pegawai bersama 76 anggota termasuk pelbagai agensi antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Pendaftaran Negara. – Bernama