49 pemenang bertuah Kuiz She Runs dipilih

49 pemenang bertuah Kuiz She Runs dipilih

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Penyertaan dan sokongan orang ramai terhadap Kuiz She Runs 2016 di akhbar Media Permata dan Borneo Bulletin bermula sejak April hingga 12 Mei 2016 amat menggalakkan apabila lebih 2,200 penyertaan diterima dengan 1,151 daripadanya menjawab dengan betul.

Dalam kuiz tersebut, peserta dikehendaki menjawab empat soalan mudah berkaitan dengan acara She Runs dan peserta yang menjawab semua soalan dengan betul layak untuk memenangi tiga hadiah utama dan dua hadiah sagu hati.

Sehubungan itu, cabutan untuk memilih 49 pemenang telah dilakukan oleh pihak penganjur dan penaja dalam majlis yang diadakan di Bangunan CPS Brunei Press, Beribi hari ini.

Pada majlis itu, Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See dan Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun membuat cabutan nama-nama pemenang kuiz She Runs.

Turut serta dalam mengundi nama pemenang itu ialah Timbalan Pengurus Besar Brunei Press, Hazizah Osman; Pengurus Kanan (Kewangan dan Operasi Brunei Press), Suzie Houng; dan Ketua Penyelaras Perniagaan Segmen Mewah BMW, Dayang Anis.

(Dari kanan-kiri) Dayang Anis, Suzie Houng, Reggie See, Wu Chun, Hazizah Osman dan rakan media ketika bergambar bersama hadiah yang akan diberikan kepada pemenang Kuiz She Runs 2016.
(Dari kanan-kiri) Dayang Anis, Suzie Houng, Reggie See, Wu Chun, Hazizah Osman dan rakan media ketika bergambar bersama hadiah yang akan diberikan kepada pemenang Kuiz She Runs 2016.
Reggie See ketika menyampaikan kemeja-T Brunei Press Quality Campaign kepada Wu Chun.
Reggie See ketika menyampaikan kemeja-T Brunei Press Quality Campaign kepada Wu Chun.

Wu Chun melahirkan perasaan gembira dengan sokongan dan penyertaan orang ramai terhadap acara ini dan berharap akan berpeluang lagi bekerjasama dengan Brunei Press pada masa akan datang.

“Acara She Runs 2016 ini merupakan aktiviti tahunan Fitness Zone dan kali kedua ia diadakan, yang mana hasil daripada kutipan pendaftaran peserta 100 peratus disumbangkan kepada para penerima,” tambahnya.

Hadiah yang ditawarkan untuk Kuiz She Runs berupa satu tiket penerbangan RB pergi dan balik ke Kota Kinabalu dan baucar dari WoMen Hair Salon untuk pemenang tempat pertama manakala hadiah kedua berupa satu alat timbangan Tanita dan baucar keahlian Fitness Zone selama dua minggu diberikan kepada lima pemenang.

Sementara itu, tiga hadiah diberikan untuk pemenang tempat ketiga berupa sajian rendah karbohidrat di The Energy Kitchen dan sebiji kek hari jadi dari Bake Culture.

Bukan itu saja, 40 hadiah saguhati berupa barangan eksklusif BMW dan Brunei Press juga diberikan kepada penyertaan yang berjaya dalam undian berkenaan. Nama-nama pemenang telah diterbitkan dalam keluaran Media Permata dan Borneo Bulletin hari ini.