495 pekerja baru diambil sepanjang Feb

495 pekerja baru diambil sepanjang Feb

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Seramai 495 pengambilan baru dalam pekerjaan dicatatkan sepanjang bulan Februari tahun ini membabitkan 32 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan 463 yang lain menyertai sektor swasta.

Angka tersebut adalah berasaskan pencarum baru yang berdaftar dengan Tabung Amanah Pekerja (TAP), demikian menurut Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam Laporan Perangkaan Pasaran Kerja (PPK) bagi bulan Februari 2016 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan PPK merangkumi anggaran bilangan terkini pencari kerja serta profil pengambilan baru dalam pekerjaan.

Menurut JPKE, secara keseluruhan, jumlah pencarum yang baru berdaftar di TAP dari bulan Januari hingga Disember 2015 ialah seramai 6,800 orang manakala dari bulan Januari hingga Februari 2016 ialah seramai 1,053 orang.

Sepanjang bulan Februari 2016, seramai 118 orang baru mendaftar sebagai pencari kerja di Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

pg02_160411_a

“Sehingga bulan Februari 2016, bilangan pencari kerja dalam kalangan penduduk tempatan (rakyat Brunei dan penduduk tetap) yang berumur 18 hingga 59 tahun adalah seramai 10,446 orang,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut JPKE, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan penyertaan anak-anak tempatan di dalam pasaran kerja di negara ini khususnya di sektor swasta, melalui dua pendekatan iaitu meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anak tempatan lepasan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dengan memberikan biasiswa atau latihan seperti Skim Biasiswa Khas, Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Swasta Dalam Negeri (BPTV), Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional bagi Program Energy Industry Competency Framework (BPTV-EICF), dan Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP) serta memberikan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pengurangan kuota pengambilan pekerja-pekerja asing yang berkemahiran rendah.

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pasaran Kerja (PPK) ini bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 (waktu pejabat) atau melayari laman www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA