5 atlet Malaysia mara final festival seni antarabangsa

5 atlet Malaysia mara final festival seni antarabangsa

BANGKOK, 15 Mac (Bernama) – Lima atlet sukan Muay Malaysia melangkah bergaya ke perlawanan akhir Festival Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa Thai yang julung kali diadakan di Bangkok, semalam.

Presiden Pro-Tem Persatuan Muay Malaysia merangkap Presiden Persatuan Muay Selangor, Datuk Mohd Fairus Urep berkata kejayaan itu membuktikan kemampuan sebenar atlet sukan Muay negara bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan memasuki perlawanan akhir pelbagai kategori itu adalah bukti terhadap kemampuan atlet-atlet Muay negara bersaing dengan atlet antarabangsa dalam sukan popular Muay,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kelima-lima atlet sukan Muay itu, katanya, bakal bertembung dengan lawan masing-masing dari Pakistan, Uzbekistan, Greece dan Thailand dalam perlawanan akhir esok.

Atlet Muay negara, Mohd Zamani bersama jurulatihnya Hafiz Rozaidi selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir di Kejohanan 1st International Thai Martial Arts Games Festival di sini. – Bernama
Atlet Muay negara, Mohd Zamani bersama jurulatihnya Hafiz Rozaidi selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir di Kejohanan 1st International Thai Martial Arts Games Festival di sini. – Bernama

Bersaing dengan atlet-atlet Muay dari luar negara yang memiliki susuk tubuh lebih sasa tidak mendatangkan sebarang masalah kepada atlet negara yang ternyata lebih tangkas berbanding lawan, kata Mohd Fairus.

Atlet-atlet Muay negara yang berjaya memasuki perlawanan akhir esok ialah Mohd Arif Haikal Mohd Zahir dan Iskandar Nazri, kedua-duanya dalam kategori kadet bawah 12 tahun manakala Mohd Azizi Shamsuddin dalam kategori 48kg, Mohd Zamani (54kg) dan Najmi Nazri (57kg).

“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras kita menerusi kem latihan pusat selama dua bulan sebelum ini. Ia sememangnya membuahkan hasil dan akan hanya mendorong untuk mencapai keputusan terbaik pada perlawanan akhir,” katanya.