5 belia sertai JENESYS di Jepun

5 belia sertai JENESYS di Jepun

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seramai lima orang belia dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Brunei Darussalam, hari ini, berlepas ke Jepun, setelah dipilih untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS) 2015 yang bermula hari ini sehingga 20 Oktober.

Hadir mengucapkan selama belayar kepada para belia berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud.

Para belia berkenaan terdiri daripada Dayang Auzee Haziqah binti Rosmadee selaku ketua peserta, Dayang Halimatul Hanisah binti Haji Nasir, Awang Muhammad Firdaus bin Muhammad Jeffery, Awang Muhammad Adib bin Husine dan Dayang Nur Rabiatul Rafidah binti Abdul Azis.

Semasa ditemui media, Dayang Auzee Haziqah melahirkan harapan agar program ini akan dapat membantu beliau untuk sama-sama mengongsi budaya Negara Brunei Darussalam kepada para peserta lain semasa berada di Jepun nanti, di samping bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai budaya di Jepun.

Gambar ramai bersama tetamu kehormat dan para peserta.
Gambar ramai bersama tetamu kehormat dan para peserta.

Semasa berada di Jepun nanti, para peserta akan berpeluang untuk melawat ke tempat-tempat yang menarik dan penuh dengan kebudayaannya seperti Asakusa, Harajuku, Akihabara dan Odaiba.

Selain itu juga, mereka akan melawat bangunan-bangunan kerajaan dan tempat perindustrian di samping menyertai program pertukaran sekolah dan inap desa.

Program JENESYS 2015 ini turut disertai oleh para belia dari 10 negara anggota ASEAN lain dengan tujuan untuk memupuk dan mengeratkan lagi tali persahabatan serta hubungan dua hala antara Jepun dan negara-negara ASEAN yang menyertainya.

ARTIKEL YANG SAMA