5 blok rumah pekerja musnah terbakar

5 blok rumah pekerja musnah terbakar

SANDAKAN, 15 April (Bernama) – Seramai 145 pekerja kilang di Semawang Sawmill di Batu 11 dekat sini, hilang tempat tinggal selepas lima blok rumah pekerja di kilang itu musnah terbakar semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata tindakan cepat bomba mengawal api berjaya menyelamatkan sebuah lagi blok menempatkan 51 pekerja wanita daripada musnah terbakar.

Katanya seramai 13 anggota bersama tiga jentera dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.53 tengah malam.

Api dapat dikawal pada pukul 2 pagi dan dipadam sepenuhnya pada 6 pagi, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam kes berasingan, Mohd Razali berkata seorang wanita warga emas berusia 84 tahun yang dilaporkan hilang semalam di Kampung Sungai Batang Batu 10 dekat sini, telah dijumpai hari ini.

Katanya mangsa dijumpai dalam keadaan selamat pada pukul 7 pagi di kawasan hutan Kampung Rancangan Sungai Manila, lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa, Lee Thai Yin dilaporkan hilang pada pukul 12 tengah hari oleh anaknya yang kali terakhir dilihat berada di perkarangan rumah mereka.