5 cedera bom paip meletup di Turki

5 cedera bom paip meletup di Turki

ISTANBUL, 2 Dis (Reuters) – Lima orang cedera apabila bom paip meletup di atas sebuah jambatan berhampiran stesen metro di bandar ini, kelmarin.

Datuk Bandar daerah Bayrampasa, Atilla Aydiner bercakap secara langsung dalam televisyen A Haber selepas letupan yang berlaku di kawasan kediaman dan industri kejiranan Eropah itu ketika waktu puncak sebelah petang.

Seorang pegawai perbandaran memberitahu Reuters, operasi kereta api ditangguhkan di stesen metro Bayrampasa selepas bunyi kuat kedengaran.

Agensi berita Dogan melaporkan ambulans didengar bergegas ke tempat kejadian, di kawasan kediaman dan industri di kejiranan Eropah bandar ini.

Pegawai forensik ketika memeriksa tapak letupan yang berlaku 1 Disember di daerah Bayrampasa, Istanbul. – AFP
Pegawai forensik ketika memeriksa tapak letupan yang berlaku 1 Disember di daerah Bayrampasa, Istanbul. – AFP

Gambar media sosial menunjukkan berpuluh orang yang berjalan di sepanjang landasan kereta api darat selepas pergerakan tren dihentikan. Walaupun sistem kereta api metro di ibu kota ini sebahagian besarnya berada di bawah tanah, ia juga mengendalikan tren darat di sesetengah kawasan termasuk Bayrampasa.

Sementara itu, letupan berkenaan mungkin disebabkan bom yang diletakkan di atas jambatan, kata penyiar Turki, NTV. Bagaimanapun, polis di bandar ini berkata punca letupan masih tidak diketahui dan siasatan sedang dijalankan.