5 cedera kebakaran kecil di Masjidil Haram

5 cedera kebakaran kecil di Masjidil Haram

MAKKAH, 7 Julai (Agensi) – Sekurang-kurangnya lima orang cedera dalam satu kebakaran kecil di Masjidil Haram, Arab Saudi awal pagi Isnin, lapor media tempatan.

Akhbar Saudi Gazette melaporkan, kebakaran yang berlaku sekitar jam 2.00 pagi waktu tempatan itu berpunca daripada litar pintas membabitkan bahagian bumbung di Haram Sharif. Api bagaimanapun dapat dikawal tidak lama kemudian.

Mereka yang cedera terdiri daripada pekerja binaan, kakitangan awam dan pengawal keselamatan.

Berikutan kebakaran berlaku di kawasan bumbung masjid, tidak ada jemaah yang dilaporkan cedera.

Sejak dua minggu lalu, dianggarkan lebih 14 juta jemaah berada di bandar raya ini untuk menunaikan umrah Ramadan.

Dalam pada itu, akhbar sama turut melaporkan kebakaran membabitkan trak angkat susun di Masaa, lokasi jemaah melakukan Saie.

Satu lagi kebakaran turut dilaporkan di sebuah hotel penginapan jemaah.

Pasukan pertahanan awam Arab Saudi memindahkan lebih 20 jemaah apabila berlaku lintas pintas di tingkat enam hotel terbabit.

Arab Saudi turut berwaspada terhadap serangan Kumpulan Negara Islam (IS) terutama di kawasan tempat ibadat Syiah berikutan serangan membabitkan masjid Syiah, bulan lalu.

ARTIKEL YANG SAMA