5 dihantar sertai Program Penulisan MASTERA

5 dihantar sertai Program Penulisan MASTERA

Oleh Lenna N.B

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Delegasi seramai lima penulis dan aktivis drama tanah air, hari ini, berlepas ke Indonesia bagi menghadiri Program Penulisan MASTERA: Drama yang berlangsung di Bogor, Jawa Barat, Indonesia selama tujuh hari bermula esok hingga 7 Ogos 2015.

Para peserta terdiri daripada Dayang Kartini binti Haji Sapar, Awang Mohd Shahrin bin Haji Metussin, Dayang Lenna Norsusilanita binti Bahari, Awang Muhammad Nur Sallehuddin bin Haji Osman dan Haji Mohd Hussain bin Abdul Rahman selaku ketua delegasi dan pembimbing.

Penyertaan mereka adalah bagi mewakili Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebagai ahli Sidang MASTERA Brunei Darussalam.

DBP adalah badan kerajaan yang bukan sahaja memantau kepentingan penggunaan Bahasa Melayu tetapi juga aktiviti Kesusasteraan Melayu yang menyumbangkan kepada pembinaan bangsa Negara Brunei Darussalam berkonsepkan Melayu Islam Beraja.

Delegasi Brunei bersama pegawai DBP di dewan pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.
Delegasi Brunei bersama pegawai DBP di dewan pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.

Program Penulisan MASTERA pada tahun ini diketuai oleh MASTERA Indonesia, Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan Nasional, Indonesia selaku tuan rumah yang turut disertai delegasi dari Malaysia, Indonesia serta Singapura sebagai negara pemerhati.

Selain bertujuan sebagai pertukaran maklumat mengenai situasi penulisan drama di empat-empat buah negara (Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura) program tersebut juga membantu para peserta memperbaiki naskhah drama mereka, memahami secara mendalam ilmu penulisan drama serantau dan seterusnya memperkembangkan penulisan drama di tanah air.

Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam bagi menghantar delegasi negara ialah pegawai-pegawai DBP.

ARTIKEL YANG SAMA