5 ekor gajah mati terperangkap dalam kolam lumpur

5 ekor gajah mati terperangkap dalam kolam lumpur

TAWAU, 14 Sept – Lima daripada sembilan ekor gajah ditemukan mati setelah terperangkap di dalam kolam lumpur berdekatan Kem Pembalakan Berkat Saga iaitu sebuah perusahaan kayu balak di Rinukut pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata kesemua gajah itu dipercayai telah terperangkap kira-kira seminggu di dalam kolam lumpur itu sebelum ditemui orang awam.

“Pejabat Hidupan Liar Tawau dan Unit Penyelamat Hidupan Liar telah menjalankan misi menyelamat kumpulan gajah ini, namun setibanya di kawasan itu, lima gajah yang terperangkap telah ditemukan mati.

“Dengan bantuan jentera berat dari kem pembalakan Berkat Saga, dua ekor gajah dewasa yang masih kuat berjaya dikeluarkan manakala dua ekor lagi terpaksa di ‘eutanasia’ (dimatikan) bagi mengelakkan terus sengsara ekoran terlalu lemah, kekurangan air serta buta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Augustine berkata hasil siasatan rapi dan kajian semula laporan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti.

Seorang kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah menunjukkan lima daripada sembilan ekor gajah yang ditemukan mati selepas terperangkap di dalam kolam lumpur berdekatan Kem Pembalakan Berkat Saga iaitu sebuah perusahaan kayu balak di Rinukut, pada Sabtu lepas.
Kesemua gajah itu dipercayai telah terperangkap kira-kira seminggu di dalam kolam lumpur itu sebelum ditemui orang awam. –Bernama

“Kemungkinan gajah-gajah tersebut masuk ke dalam kolam lumpur hanya sekadar untuk menyejukkan diri dan mandi…tetapi gajah ini mungkin tersalah jangkaan akan kedalaman dan konsistensi lumpur seperti ‘pasir jerlus’ di kolam itu dan akhirnya gagal keluar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar pihak yang membuat kerja penggalian serupa supaya menimbus kembali atau memagar kawasan berkenaan selepas tamat kerja-kerja di sekitar kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang terutamanya di kawasan yang menjadi laluan gajah.

“Kolam lumpur yang membabitkan insiden gajah tersebut telah ditimbus dengan tanah dan ditutup sepenuhnya,” katanya. – Bernama