5 keluarga terima sumbangan Yayasan

5 keluarga terima sumbangan Yayasan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Lima buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah baru-baru ini telah menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan berupa kewangan yang keseluruhannya berjumlah $21,600 ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Para penerima sumbangan terdiri daripada ketua keluarga mangsa kebakaran iaitu Pengiran Rafae bin Pengiran Haji Yassin, Hajah Siti Aidah binti Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Dayang Siti Mardianawati binti Haji Makmun dari Kampung Burong Pingai Ayer, manakala Hajah Sarpiah binti Haji Bahar dan Awang Mohammad Faizal bin Mohd Sapar dari Kampung Tungku.

Salah seorang ketua keluarga mangsa kebakaran rumah yang menerima sumbangan kewangan daripada Yayasan.
Salah seorang ketua keluarga mangsa kebakaran rumah yang menerima sumbangan kewangan daripada Yayasan.

Sumbangan ini merupakan salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan iaitu memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana rumah roboh dan kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

ARTIKEL YANG SAMA