5 kru kapal Vietnam diculik

5 kru kapal Vietnam diculik

ZAMBOANGA, Filipina, 11 Nov – Lelaki bersenjata menculik sekurang-kurangnya lima anggota kru kapal kargo Vietnam di selatan perairan Filipina hari ini, kata pihak berkuasa, sebuah kawasan di mana militan Islam sedang melancarkan kempen penculikan-untuk-wang tebusan.

Serangan membawa kepada sekurang-kurangnya lapan orang yang diculik daripada kapal di rantau tersebut dalam tempoh seminggu lalu, termasuk seorang kelasi Jerman, menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa gagal mengawal masalah kegiatan lanun yang semakin teruk.

Kapal MV Royal 16 sedang belayar kurang daripada 20 kilometer dari pulau Basilan, kubu militan Abu Sayyaf, apabila ia diserang pada pagi ini.

Dua anggota kru, salah seorang mengalami kecederaan, berjaya melepaskan diri dan diselamatkan oleh kapal kargo tempatan di kawasan itu, tambah pihak berkuasa.

“Bantuan tentera laut telah pun dihantar untuk mencari dan menyelamat mangsa yang diculik,” kata jurucakap tentera serantau Filemon Tan.

Kerakyatan lima anggota kru dan identiti penculik masih tidak diketahui.

Dalam beberapa bulan ini, Abu Sayyaf telah dituduh menculik berpuluh kelasi Indonesia dan Malaysia di perairan di selatan Filipina.

Pada hujung minggu, seorang komander Abu Sayyaf mendakwa bertanggungjawab kerana menculik seorang kelasi Jerman berusia 70 tahun dan membunuh isterinya.

Dalam apa yang digambarkan oleh pakar laut sebagai satu kejadian bersejarah, kapten kapal kargo Korea Selatan dan seorang anggota kru Filipina diculik daripada kapal mereka, serangan pertama sedemikian ke atas kapal saudagar besar.

Militan Abu Sayyaf pada tahun ini memancung kepala dua tebusan warga Kanada selepas tuntutan untuk wang berjumlah berjuta-juta dolar tidak dipenuhi. Kebanyakan kelasi Indonesia dan Malaysia dibebaskan selepas wang tebusan dilaporkan dibayar.

Bagaimanapun, dua lagi kelasi Indonesia diculik pada 5 November. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA