5 ladang padi dapat penghargaan

5 ladang padi dapat penghargaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Lima ladang padi telah mendapat penghargaan daripada Syarikat Chantika Sdn Bhd semasa Taklimat Semaian Padi yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Parit di sini, hari ini.

Tempat pertama telah disandang oleh Ladang Padi KOSEKA Bhd yang diwakili oleh Haji Mohd Said bin Haji Muhammad bagi menerima anugerah berkenaan, diikuti Ladang Padi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bebuloh yang diwakili Haji Mohd Said Tundak dan di tempat ketiga disandang oleh Ladang Padi MPK Batang Perhentian dengan diwakili Awang Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman.

Selain itu, dua lagi ladang yang menerima hadiah di majlis itu ialah Ladang Padi Majlis Perundingan Mukim Pengkalan Batu yang diwakili Hajah Azizah Basinah dan Ladang Padi MPK Limau Manis yang diwakili Awang Marneh bin Haji Mazid.

Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah penghargaan Pengusaha Padi Berjaya bagi setiap kumpulan ladang padi Daerah Brunei Muara 2015 itu ialah Pengurus Besar Syarikat Chantika Sdn Bhd, Julie Fong.

Haji Mohd Said mewakili Ladang Padi KOSEKA Bhd menerima hadiahnya di majlis itu.
Haji Mohd Said mewakili Ladang Padi KOSEKA Bhd menerima hadiahnya di majlis itu.
Di kalangan pengusaha ladang padi yang turut serta di majlis itu.
Di kalangan pengusaha ladang padi yang turut serta di majlis itu.

Terlebih dahulu, barisan perwakilan pengusaha-pengusaha padi yang terlibat mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Konsultan Syarikat Chantika Sdn Bhd, Awang Ismadi bin Zakaria.

Dalam taklimatnya, beliau antara lain mengetengahkan mengenai serangga perosak dan cara mengawalnya serta memberikan tip pemilihan jenis racun yang sesuai bagi serangga-serangga tertentu selain menjawab soalan yang diajukan oleh para pengusaha yang tampil ke hadapan pada sesi soal jawab di akhir majlis.

Penganugerahan itu merupakan projek tahunan dalam program galakan dan pengiktirafan kepada pengusaha-pengusaha ladang padi yang antaranya melihat kepada beberapa kriteria tertentu termasuk penghasilan dan pengeluaran, sistem pengurusan ladang dan penglibatan pengusaha.

ARTIKEL YANG SAMA