5 lagi kesalahan dikesan dalam Ops Tegas

5 lagi kesalahan dikesan dalam Ops Tegas

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), semalam telah menjalankan sebuah operasi penguatkuasaan lalu lintas Ops Tegas di Jalan Penghubung Beribi/Kiarong bagi kedua-dua hala kiri dan kanan.

Dalam operasi tersebut, lima kesalahan yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya, terdiri daripada dua kes doket dan tiga kes kompaun.

Menurut Ketua Unit Doket JSKLL, Mohd Rafiee bin Haji Abas, antara kesalahan tersebut ialah satu kes tidak mempunyai lesen memandu Kelas (4) yang sah dan satu kes cukai jalan mansuh bagi kes doket, manakala bagi kes kompaun pula ialah satu kes hon tidak berfungsi, satu kes huruf dan angka plat pendaftaran tidak ikut peraturan dan kes tidak menampal cukai jalan.

Menurut beliau, operasi semalam berlangsung selama dua jam dari pukul 9:30 malam hingga 11:30 malam dan melibatkan lebih kurang 20 orang anggota JSKLL.

Anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan.
Anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan.

Mohd Rafiee seterusnya berkata, Ops Tegas merupakan operasi tahunan JSKLL dan ia akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini.

Beliau juga turut menyarankan orang ramai supaya mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka di samping memandu dengan cermat dan selamat.

Katanya, kes-kes seperti kesalahan seperti memandu di bawah umur juga pernah didapati di mana rata-rata mereka memberikan alasan seperti bahawa mereka tertinggal lesen di rumah dan sebagainya.

Jika ini terjadi, para pemandu itu akan diperiksa melalui sebuah unit khas dengan menggunakan sistem yang dapat menyemak jika pemandu tersebut terdapat lesen atau sebaliknya.

ARTIKEL YANG SAMA