5 lagi perdengarkan hafazan

5 lagi perdengarkan hafazan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah diteruskan lagi, hari ini, dengan lima peserta Kategori A memperdengarkan hafazan masing-masing dan diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada para peserta dan hakim pertandingan.

Hadir menyempurnakan penyampaian cenderamata di majlis yang berlangsung di Dewan Musyawarrah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas petang tadi ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Azmi bin Haji Hafneh yang juga selaku pengerusi majlis menjelaskan tahun ini seramai 206 calon telah mendaftar untuk mengikuti musabaqah ini, dan mereka telah disaring melalui peringkat pemilihan awal dan separuh akhir.

Daripada jumlah itu hanya 23 orang memperdengarkan hafazan dan menguji pemahaman mengikut kategori masing-masing dalam pertandingan akhir yang berlangsung selama dua hari, kelmarin dan hari ini.

Dato Haji Abdul Aziz ketika menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para peserta.
Dato Haji Abdul Aziz ketika menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para peserta.
Salah seorang peserta daripada Kategori A yang dipertandingkan kelmarin petang.
Salah seorang peserta daripada Kategori A yang dipertandingkan kelmarin petang.

Pertandingan ini bertujuan bagi menggalakkan umat Islam di negara ini untuk mencintai Al-Quran melalui hafazan terutama sekali golongan kanak-kanak, murid-murid dan remaja.

Di samping itu, ia membolehkan mereka membaca dan memahami Al-Quran dengan sempurna tanpa melihat kitab suci Al-Quran serta menjadikan budaya membaca Al-Quran sebagai satu kebiasaan dan amalan harian.

Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Akhir Negara Tahun 1436 Hijrah yang akan diadakan menjelang bulan Ramadan yang akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA