5 lapangan terbang ditutup

5 lapangan terbang ditutup

DENPASAR, Indonesia, 10 Julai 9AFP) – Letusan gunung berapi Indonesia telah memaksa penutupan lima lapangan terbang hari ini, termasuk pulau percutian Bali, menyebabkan kira-kira 350 penerbangan dibatalkan dan beribu-ribu orang yang bercuti terkandas.

Lapangan terbang antarabangsa di pulau Lombok adalah antara yang ditutup lewat semalam apabila Gunung Raung di pulau utama Java meluahkan kepulan abu, kata kementerian pengangkutan.

Lapangan terbang utama Lombok dibuka semula hari ini, namun di Bali dan dua lapangan terbang lain bagi laluan domestik ke Jawa masih lagi ditutup, menurut jurucakap kementerian.

Penutupan berlaku ketika musim percutian kemuncak di Bali, kawasan penganut Hinduisme di negara Indonesia yang menarik berjuta-juta pelancong asing setiap tahun ke pantainya.

“Keadaan agak kelam-kabut,” beritahu Katie Nagar, ekspatriat Amerika yang menetap di Indonesia kepada AFP.

Para penumpang duduk di sekitar terminal antarabangsa di lapangan terbang Ngurah Rai, Bali, Denpasar menunggu maklumat penerbangan tertangguh akibat debu gunung berapi. – AFP
Para penumpang duduk di sekitar terminal antarabangsa di lapangan terbang Ngurah Rai, Bali, Denpasar menunggu maklumat penerbangan tertangguh akibat debu gunung berapi. – AFP

Beliau menceritakan beliau tiba di terminal domestik lapangan terbang Bali Ngurah Rai dan mendapati penerbangannya ke Jakarta dengan pesawat udara Indonesia Garuda telahpun dibatalkan dan dijadualkan semula pada Ahad.

“Pada asasnya terdapat beratus orang yang berkhemah di halaman berumput di depan lapangan terbang. Terdapat barisan beratus orang yang menunggu untuk bercakap kepada perkhidmatan pelanggan.”

Dianggarkan kira-kira 1,000 orang terkandas di sana, dengan sesetengah cuba mendapatkan maklumat daripada pegawai lapangan terbang sementara yang lainnya duduk atau tidur di atas lantai.

Trikora Harjo, pengurus besar di Ngurah Rai, berkata 330 penerbangan, 160 domestik dan 170 antarabangsa – telah dibatalkan setakat ini di lapangan terbang disebabkan kepulan abu.

“Buat masa sekarang pihak berkuasa telah mengisytiharkan lapangan terbang akan ditutup sehingga 9:30 malam, ditutup sepenuhnya,” kata beliau.

Garuda berkata ia telah membatalkan 112 penerbangan hari ini.

Kebanyakannya adalah ke dan dari lapangan terbang Bali, tetapi 18 adalah ke lapangan terbang lain yang terjejas oleh kepulan abu. AirAsia, Virgin Australia, Jetstar dan Air New Zealand juga mengesahkan penerbangan ke Bali telah dibatalkan.

Gangguan berlaku tatkala ramai warga Australia berada di cuti sekolah, dan kebanyakan warga Indonesia sedang memulakan cuti sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan.

ARTIKEL YANG SAMA