5 lelaki bersenjata larikan dua kereta dalam kejadian samun

5 lelaki bersenjata larikan dua kereta dalam kejadian samun

KUCHING, 24 Jun (Bernama) – Lima lelaki bersenjatakan pisau dan parang melarikan dua kereta serta beberapa barang berharga selepas mengikat empat penghuni rumah dalam kejadian samun di Taman Matang Jaya di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Choo Yin Kok berkata semua suspek dipercayai warga asing yang bertopeng, masuk ke dalam rumah berkenaan dengan mengumpil tingkap di bahagian dapur pada kira-kira 3 pagi tadi.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengikat semua mangsa dengan menggunakan wayar telefon dan menutup mulut mereka dengan baju, sebelum dikumpulkan di ruang tamu.

“Antara yang dilarikan, sebuah kereta Perodua Viva putih QAV 9207 dan sebuah Toyota Innova QAU 9051 warna perak, selain barang kemas, komputer riba serta telefon bimbit, dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata sebaik sahaja berjaya melepaskan diri, anak lelaki mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gita di sini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi ASP Sofian Abu Bakar, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Padawan di talian 012-7786919 bagi membantu siasatan,” katanya.