5 lokasi Sejiwa Senada di S’wak

5 lokasi Sejiwa Senada di S’wak

KUCHING, 4 Jan (Bernama) – Program Sejiwa Senada di Sarawak tahun ini akan memberi penekanan kepada usaha menerangkan kepada orang ramai mengenai pelbagai langkah, tindakan atau dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata lima lokasi dipilih menjadi venue program, dengan tiap lokasi disasar menarik kehadiran antara 80,000 hingga 100,000 pengunjung.

Beliau berkata bandar raya Miri menjadi destinasi pertama program itu dari 8 hingga 10 Januari ini, diikuti dengan Sibu (15 hingga 17 Januari), Mukah (12 hingga 14 Februari), Sarikei (19 hingga 21 Februari), Saratok (26 hingga 28 Februari) dan Kapit (4 hingga 6 Mac).

Katanya program berkenaan menjadi lebih signifikan tahun ini khusus bagi menerangkan kepada orang ramai mengenai pembaharuan yang dilaksanakan Tan Sri Adenan Satem sejak menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak pada penghujung Februari 2014.

Bercakap dalam satu sidang media di Wisma Bapa di sini hari ini, beliau berkata Adenan dijadualkan melancarkan program di Miri pada 9 Januari.

Abang Johari berkata penerangan perlu ditingkatkan supaya orang ramai lebih sedar mengenai kejayaan-kejayaan signifikan yang diraih kerajaan negeri dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata antaranya yang penting ialah seperti kejayaan menurunkan tarif elektrik, pemansuhan kutipan tol, usaha gigih memerangi pembalakan haram, tekad membangunkan lebuh raya Pan Borneo dan banyak lagi.

Sementara itu, Jabatan Penerangan Sarawak dalam satu kenyataan berkata program tahunan Sejiwa Senada yang bermula sejak tahun 2010 itu merupakan satu transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang melibatkan kerajaan turun padang bertemu dengan rakyat demi merapatkan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan dengan segenap lapisan masyarakat.

Program ini diharap dapat meningkatkan interaksi dua hala yang efektif antara kedua-dua pihak di samping memberi kefahaman kepada rakyat tentang usaha berterusan kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat Sarawak.

Menurutnya 10 artis dan enam pemuzik Pentarama Jabatan Penerangan menjanjikan persembahan cukup hebat dan menghiburkan buat pengunjung ke program di Miri nanti.