5 maut banjir di Filipina

5 maut banjir di Filipina

MANILA, 14 Ogos – Lima orang telah terbunuh di Filipina dan berpuluh ribu telah melarikan diri daripada banjir yang berpunca daripada hujan yang turun tanpa henti-henti, kata anggota menyelamat hari ini.

Pegawai pertahanan awam mengingatkan penduduk Manila dan wilayah berhampiran supaya menjangka lebih banyak hujan yang lebat pada hari-hari akan datang tatkala lebih daripada 24,000 orang mendapatkan perlindungan di sekolah dan bangunan kerajaan.

“Kami menjangka lebih banyak kawasan rendah akan mengalami banjir,” beritahu jurucakap Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional Romina Marasigan kepada AFP.

“Mereka yang telahpun berada di pusat pemindahan harus tinggal di sana sehingga cuaca bertambah baik,” tambahnya.

Mereka yang dipindahkan termasuk hampir 9,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dari Sungai Marikina semalam.

Majlis berkata tiga penduduk setinggan di Manila dihimpit sehingga mati oleh dinding yang roboh dalam banjir semalam.

Seorang lelaki mati lemas ketika menyeberangi sebatang sungai di tengah pulau Panay pada Rabu, katanya, sementara pihak berkuasa mengeluarkan satu mayat daripada terusan Manila pada Jumaat, punca kematian masih disiasat.

Seorang nelayan hilang di laut di luar pulau tengah Marinduque pada Isnin, manakala seorang lelaki mengalami kecederaan akibat batu yang jatuh di sebatang lebuh raya di timur Manila pada Jumaat, katanya.

Pada keseluruhannya, rumah milik lebih daripada 70,000 orang telah pun ditenggelami air, kata majlis, walaupun kebanyakan penduduk masih tinggal di dalam rumah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA