5 maut kereta terjatuh dari jeti

5 maut kereta terjatuh dari jeti

LONDON, 21 Mac (AFP) – Lima orang terbunuh semalam selepas sebuah kereta terjatuh dari jeti di tempat indah di timur laut Ireland, tetapi pihak berkuasa berkata seorang anak damit perempuan telah diselamatkan dengan bantuan dari seseorang yang berada di tempat kejadian.

Pasukan penyelamat laut dan udara melancarkan misi selepas laporan bahawa kereta itu terjatuh ke dalam air di Buncrana, bandar pelancong popular di tebing serokan laut Lough Swilly di Wilayah Donegal.

Lima mayat, termasuklah kira-kira dua orang kanak-kanak, ditemui dari air oleh pengawal pantai tempatan.

Pihak polis berkata mereka termasuklah seorang lelaki, seorang wanita, dua orang budak lelaki dan seorang lagi budak perempuan, tetapi seorang anak damit perempuan berjaya diselamatkan dari kenderaan yang sedang karam itu dengan bantuan dari orang awam.

Penyiar Ireland, RTE melaporkan bahawa anak damit itu mungkin terhumban atau dikeluarkan dari tingkap kereta kepada para penyelamat ketika ia karam.

“Seorang anak damit perempuan berjaya diselamatkan dari kereta itu, dengan bantuan seseorang yang berada di tempat kejadian. Anak damit itu pada masa ini dalam keadaan stabil,” menurut polis dalam satu kenyataan.

“Kami telah mengeluarkan lima orang lagi dari kereta itu,” tambahnya.

Martin McGuinness, penolong menteri pertama Ireland Utara, melalui Twitter mengatakan “Berita sangat menyedihkan tentang kematian dalam kejadian di Buncrana Pier malam ini. Peringatan ditujukan kepada para kaum keluarga mereka yang terlibat dan perkhidmatan penyelamat.”

Pihak polis berkata punca kemalangan belum lagi jelas sementara menantikan penyiasatan.

ARTIKEL YANG SAMA