5 negara cari jalan alternatif berkenaan MH17

5 negara cari jalan alternatif berkenaan MH17

AMSTERDAM, 31 Julai (Reuters) – Lima negara yang menyiasat penembakan jatuh penerbangan Malaysia di Ukraine setahun lalu sedang menimbangkan penubuhan tribunal antarabangsa bebas selepas Rusia menggunakan kuasa veto terhadap cubaan untuk menubuhkan mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendakwa tersangka.

Rusia menggunakan veto anggota tetapnya dalam Majlis Keselamatan PBB Isnin lalu, yang menyekat percubaan untuk menubuhkan mahkamah antarabangsa.

Penerbangan Malaysia Airlines MH17 telah ditembak jatuh pada Julai 2014 bersama 298 orang penumpang di dalamnya, dua pertiga mereka adalah warga Belanda. Ia terhempas di wilayah Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah yang disokong Rusia.

Ukraine dan banyak negara barat percaya ia telah ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah yang disokong Moscow yang menyangka ia adalah pesawat udara tentera. Nama-nama tersangka belum disebutkan lagi.

Malaysia, Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine kini meninjau pilihan alternatif, termasuklah perbicaraan di mahkamah antarabangsa dan kebangsaan.

“Satu pilihan ialah untuk menubuhkan tribunal antarabangsa yang disokong oleh lima negara,” menurut seorang jurucakap bagi Kementerian Luar Belanda. “Satu lagi pilihan yang sedang dibincangkan ialah mewujudkan mahkamah yang ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB.”

Pilihan ketiga sedang dibincangkan melibatkan perbicaraan di mahkamah kebangsaan salah sebuah dari lima negara, yang kesemuanya kehilangan bilangan besar warganegaranya dalam nahas itu. Rundingan diadakan di bandar-bandar negara itu dan PBB, menurutnya lagi.

Mahkamah yang disokong PBB boleh memberikan kuasa untuk mengeluarkan waran tangkap yang sah di seluruh negara, yang bermakna negara yang menolak menyerahkan tersangka boleh didapati sebagai mencabuli undang-undang. Mahkamah yang disokong oleh kumpulan terhad negara-negara tidak mungkin mempunyai kuasa sama.