5 negara sepakat tangani jerebu

5 negara sepakat tangani jerebu

JAKARTA, 28 Julai – Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand bersetuju untuk terus berwaspada serta meningkatkan usaha mereka untuk mengurangkan sebarang kemungkinan berlakunya jerebu asap rentas sempadan akibat kebakaran daratan dan hutan dalam menjangka cuaca lebih kering yang berpanjangan dalam bulan-bulan mendatang.

Persetujuan itu dinyatakan dalam kenyataan bersama diakhir Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-menteri Pengawalan Sub-Regional (MSC) kali ke-17 berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Jakarta, hari ini.

Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Duta Besar Brunei ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd Rahman; Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Pada mesyuarat itu, para menteri mengambil maklum mengenai ramalan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) akan cuaca yang lebih kering daripada biasa bagi musim Monsun Asia Tenggara yang lazim (pada Jun-Oktober 2015).

Dengan kemungkinan El Nino yang lazimnya sederhana bertambah kuat dalam bulan-bulan mendatang, risiko tempoh keadaan lebih kering dan panas yang sekali sekala berlanjutan, yang boleh membawa kepada pertambahan kegiatan titik panas dan jerebu asap rentas sempadan akibat kebakaran daratan dan hutan di rantau ini ketika musim itu, adalah tinggi.

Yang Berhormat Pehin (dua dari kiri) bergambar ramai bersama menteri-menteri Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang bermesyuarat di Jakarta kelmarin.
Yang Berhormat Pehin (dua dari kiri) bergambar ramai bersama menteri-menteri Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang bermesyuarat di Jakarta kelmarin.

Para menteri juga melahirkan penghargaan di atas usaha substantif oleh Indonesia dalam melaksanakan Rancangan Tindakannya (PoA) dalam menangani Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang antara lainnya termasuklah pengerahan pasukan bersenjata dan Manggala Agni untuk menyekat kebakaran, mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani pembakaran terbuka dan meningkatkan pemantauan dekat dan berterusan ke atas titik-titik panas dan penyelarasan dikalangan kerajaan tempatan, kerajaan kebangsaan, sektor swasta dan masyarakat untuk mencegah dan menyekat kebakaran daratan dan hutan.

Negara-negara anggota MSC turut menegaskan semula tawaran bantuan mereka bagi respons kecemasan sekiranya situasi mewajarkannya.

Para menteri memuji Indonesia di atas usaha dan komitmennya kepada kerjasama dengan AMS lain untuk menangani isu-isu pencemaran jerebu rentas sempadan di bawah rangka perjanjian.

Para menteri melihat usaha berterusan Indonesia dalam memuktamadkan Memorandum Persefahamannya (MOU) dengan Malaysia dan Singapura untuk menangani isu-isu jerebu rentas sempadan, mengasaskan pengalaman berjaya yang lalu dalam kerjasama dua hala di wilayah Riau dan Jambi. Dalam hubungan ini, Malaysia dan Singapura akan memuktamadkan MOU masing-masing dengan Indonesia kelak.

ARTIKEL YANG SAMA