5 Ogos sebutan semula kes warga Indonesia

5 Ogos sebutan semula kes warga Indonesia

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes seorang lelaki warga Indonesia yang berdepan pertuduhan membawa bahan peluru dalam pesawat Penerbangan Diraja Brunei pada Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Suzana binti Pengiran Haji Abas memohon kepada mahkamah untuk penangguhan selama tiga minggu lagi sementara menunggu analisis bahan peluru itu siap sepenuhnya.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli bahawa bahan peluru itu sudah pun dihantar ke makmal di Singapura, dan hanya menunggu keputusan analisis sahaja.

Ketua Majistret membenarkan ikat jamin tertuduh dilanjutkan sehingga tarikh sebutan.

Pada 2 Mei lalu, Rustawi Tomo Kabul, didakwa memiliki beberapa bahan peluru ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira jam 11:19 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi bersama kumpulan jemaah umrah yang lain.

Tertuduh telah ditahan selepas pihak lapangan terbang mengimbas bagasi yang dibawanya dan mendapati imej yang mencurigakan.

Tertuduh berdepan hukuman penjara 15 tahun dan sebat jika sabit bersalah.

ARTIKEL YANG SAMA