5 orang Cina, seorang Murut peluk Islam

5 orang Cina, seorang Murut peluk Islam

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 21 April – Agama Islam terus berkembang pesat di negara ini apabila sebuah keluarga berbangsa Cina seramai lima orang dan seorang lelaki berbangsa Murut melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Dakwah Daerah Belait, di sini, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan itu selaku tetamu kehormat ialah Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu yang juga telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru yang diraikan.

Dengan pengislaman itu, Awang Luong Meng Khuang, 32, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Affendy bin Muhammad Saifuddin, sementara itu isterinya Dayang Titywina binti Kolut daripada puak Dusun, 27, telah memilih nama Islamnya sebagai Dayang Nur Syazwina binti Abdullah Kolut.

Tiga orang anak mereka pula, Elna Nezwa Luong Meng Mey, berusia dua tahun enam bulan, kini dikenali dengan nama Islamnya Nur Elna Nezwa binti Muhammad Affendy, Cynthia Luong Ai Lyn, setahun tujuh bulan dikenali sebagai Nur Elsa dan Yunna Luong Nyen Mei, enam bulan, kini dikenali dengan nama Nur Ellyani binti Muhammad Affendy.

Sebuah keluarga seramai lima orang berbangsa Cina dan seorang lelaki bangsa Murut memeluk ugama Islam.
Sebuah keluarga seramai lima orang berbangsa Cina dan seorang lelaki bangsa Murut memeluk ugama Islam.

Sementara itu, lelaki Murut, Awang Joey Labo, 25 yang masih bujang telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Mikhail Adam bin Abdullah Labo.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum disusuli dengan majlis pengislaman, kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penolong Ketua Bahagian Dakwah, Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan serta pegawai-pegawai Bahagian Dakwah Belait lainnya.

Sejak Januari hingga 31 Mac 2016, Daerah Belait telah mencatatkan seramai 28 orang saudara baru, yang mana daripada jumlah berkenaan, seramai 13 orang adalah daripada bangsa Iban, enam Puak Dusun, empat berbangsa Cina, tiga berbangsa Filipina dan dua lagi lain-lain bangsa.

Sementara itu, mengikut statistik tahun 2015, Daerah Belait mencatatkan seramai 96 orang telah memeluk Islam.

ARTIKEL YANG SAMA