5 pasukan berentap Liga Remaja B-16 NFABD

5 pasukan berentap Liga Remaja B-16 NFABD

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD diteruskan hari ini dengan lima perlawanan bagi menutup tirai pusingan kedua liga sebelum pusingan ketiga disambung pada 21 Ogos nanti.

Di Padang NFABD menyaksikan BTC Red Star menang 2-0 ke atas Al-Idrus Junior untuknya naik dari tangga kesembilan ke tangga kelapan dengan 15 mata. Md Zain Hazim menjaringkan gol pertama pada minit ke-32 sebelum ditambah Mohd Danial pada minit ke-51.

Tabuan ‘A’ pula mengukuhkan kedudukannya di puncak liga apabila mengalahkan pesaing terdekatnya di tangga kedua, Kasuka FC pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dengan jaringan 3-1 untuknya kini mengumpul 48 mata, empat belas mata di depan Kasuka FC.

Mohd Hadif Aiman membuka tirai jaringan buat Tabuan ‘A’ pada minit ke-7 disusuli jaringan rakannya, Mohd Aizat pada minit ke-21 untuk kedudukan 2-0. Awangku Mohd Hazmi menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-29 namun Mohd Khairunnaas memuktamadkan keputusan 3-1 menerusi jaringannya pada minit ke-46.

Di Kompleks Sukan Berakas, Kilanas FC Junior menang 2-1 ke atas Projek Ikan Pusu (PIP) sekaligus membantunya keluar dari kedudukan tercorot ke tangga kesembilan dengan 15 mata.

Salah satu aksi perlawanan antara BTC Red Star dengan Al-Idrus Junior yang berkesudahan BTC Red Star menang 2-0.
Salah satu aksi perlawanan antara BTC Red Star dengan Al-Idrus Junior yang berkesudahan BTC Red Star menang 2-0.

Mohd Firdaus Fadzlullah memberikan permulaan hebat buat PIP apabila sudah mencatat jaringan seawal minit pertama, namun Kilanas FC Junior berjaya membalas pada minit ke-22 dan ke-54, kedua-duanya dijaringkan oleh Abdul Qayyum Musyarraf.

Sementara di Padang ‘A’, Kompleks Sukan Menglait menyaksikan Rimba Star menang 3-0 ke atas BESA FC, sekaligus menyamakan kedudukan matanya, 30 mata, dengan PIP tetapi PIP kekal di tempat ketiga dengan +19 perbezaan gol berbanding +11 dicatat Rimba Star. BESA FC kekal di tangga ketujuh dengan 18 mata.

Mohd Zulhazizan menjaringkan gol pertama Rimba Star pada minit ke-3, diikuti jaringan Mohd Hibatur Rahman pada minit ke-23 untuk gol keduanya dan Md Adi Darwish pada minit ke-59 untuk gol ketiga.

Perlawanan terakhir hari ini pula menyaksikan Tabuan ‘B’ sekadar seri 1-1 dengan PERDA FC, yang menyebabkan PERDA FC jatuh ke kedudukan terbawah dengan 14 mata, sementara Tabuan ‘B’ kekal di tempat kelima dengan 24 mata.

Tabuan ‘B’ mendahului 1-0 pada minit ke-9 hasil jaringan Mohd Aisan Aisamuddin, namun PERDA FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Aiman Syafiq pada minit ke-13.

ARTIKEL YANG SAMA