5 pelajar berkeperluan khas terima sumbangan

5 pelajar berkeperluan khas terima sumbangan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Sekolah Rendah Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), hari ini, telah menyampaikan sumbangan peralatan kepada lima orang pelajar berkeperluan khas dari lima buah sekolah bagi membantu mereka dalam pembelajaran, kemudahan dan pergerakan mereka.

Sumbangan berkenaan adalah hasil daripada aktiviti minggu Pengumpulan Dana JIS yang diadakan pada April lalu, di mana sebanyak $7,080 telah berjaya dikumpulkan dan dengan wang itu serta bantuan daripada Unit Keperluan Khas, pihak sekolah membeli peralatan yang diperlukan untuk disumbangkan kepada murid-murid berkenaan.

Pelajar-pelajar yang menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian JIS, Jerudong itu terdiri daripada Awang Ahmad Hazeeq Fadhillah dari Sekolah Rendah Delima Satu dan Dayang Nur Adlina Syukriah dari Sekolah Rendah Rimba 2 yang masing-masing menerima komputer riba, Awangku Mohammed Waffiuddin dari Sekolah Menengah Lambak Kiri menerima iPad, Awang Mohammed Hadie Putra dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja dan Awang Mohammad Syahmi dari Sekolah Rendah Pusar Ulak dengan masing-masing menerima meja khas untuk pembelajaran mereka.

Sumbangan barangan dan peralatan berkenaan telah disampaikan oleh murid-murid yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Sekolah Rendah dengan disaksikan oleh murid-murid Sekolah Rendah JIS dan dari Unit Keperluan Khas, Kementerian Pendidikan.

Antara pelajar yang menerima sumbangan peralatan khas sekolah daripada Sekolah Rendah JIS.
Antara pelajar yang menerima sumbangan peralatan khas sekolah daripada Sekolah Rendah JIS.

Ketua Sekolah Rendah JIS, Paul Bannister berkata, Minggu Pengumpulan Dana yang diadakan setiap tahun menyediakan peluang baik untuk anak-anak untuk secara aktif memberikan sesuatu kepada masyarakat Brunei yang lebih luas.

Semasa aktiviti pengumuman dana berkenaan, para pelajar Sekolah Rendah JIS bersemangat untuk menyertai seluruh aktiviti yang diadakan seperti ‘Wang untuk Kerja’, ‘Coin Drop’, jualan roti dan melancarkan Teddy.

Pengetua Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri, Dayangku Hajah Nohasima binti Pengiran Haji Hassan selaku wakil penerima-penerima, berkata bahawa projek di bawah JIS ini dapat mengajar murid-murid sekolah untuk membantu dan berkongsi terutama kepada ibu-bapa penjaga yang tidak berkemampuan untuk membeli peralatan seumpamanya.

“Kami menghargai sumbangan dari JIS sebagai amalan bersedekah, ia dapat membantu pelajar yang memerlukan peralatan khas bagi pembelajaran mereka,” ujar beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA