5 pelajar HK kunjungi MKM

5 pelajar HK kunjungi MKM

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), hari ini, telah menerima kunjungan daripada lima orang pelajar dari Hong Kong di pejabat barunya di Kompleks Melabau, Serusop.

Menurut kenyataan MKM, pelajar-pelajar berkenaan adalah dari Hong Kong University of Science and Technology dan The Hong Kong Polytechnic University, yang mana lawatan mereka ke Brunei adalah sebahagian daripada projek mengenai ‘Backpacking’ di bawah Kumpulan Belia Persekutuan Hong Kong, yang mana mereka merupakan ahli-ahli kumpulan tersebut.

Salah seorang pelajar berkenaan, Margaret Yau menjelaskan bahawa lawatan ‘Backpacking’ ini adalah sebahagian daripada Program One Belt One Road One Friendship kumpulan belia mereka.

Manakala itu, seorang lagi pelajar Terrance Wan pula dipetik sebagai berkata, “Kami memilih Brunei sebagai destinasi kami kerana tidak banyak maklumat yang ada mengenai Brunei dan kami berminat untuk meneroka negara ini dan belajar mengenai budaya dan tradisi, dan secara amnya cara hidup mereka.”

Sebahagian daripada lawatan mereka adalah untuk melawat sebuah pertubuhan amal dan mereka mengetahui mengenai MKM menerusi internet.

Gambar ramai para pelajar bersama warga MKM.
Gambar ramai para pelajar bersama warga MKM.

“Kami ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program-program kebajikan masyarakat awam di Brunei dan kami dapat lihat bahawa MKM mempunyai pelbagai program baik bagi yang terdedah,” ujar Vincci Zhu, seorang lagi pelajar berkenaan.

Dalam lawatan berkenaan, menurut kenyataan itu lagi, MKM telah memberikan gambaran keseluruhan mengenai pelbagai program dan inisiatif yang telah dilakukan oleh mereka setakat ini sejak penubuhannya kira-kira lima tahun yang lalu.

Ia memberi perspektif yang lebih baik mengenai apa yang dilakukan oleh ahli-ahli dan sukarelawan MKM dalam menangani isu-isu sosial di negara ini, dengan kapasitinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan.

Di samping itu, MKM juga menekankan kejayaan-kejayaan dan cabarannya dalam menguruskan sebuah pertubuhan dengan sumber-sumber terhad yang dikendalikan sepenuhnya oleh para sukarelawan.

Menurut kenyataan itu, para pelajar berkenaan amat tertarik dengan Klinik Khidmat Nasihat dan Penasihat Perundangan MKM yang memberikan akses kepada keadilan bagi kumpulan yang terdedah di negara ini.

Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim telah menyampaikan penghargaan kepada pelajar-pelajar berkenaan kerana memilih MKM sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang dilawat.

Menurutnya, mereka kini dalam proses menarik lebih ramai sukarelawan belia dalam pertubuhan mereka.

“Ia merupakan satu cabaran bagi kami untuk menarik belia membuat kerja kesukarelawanan bagi amal namun kami percaya bahawa jika kami melatih mereka dan memberikan mereka projek-projek menarik untuk dilaksanakan yang membantu belia-belia terdedah lain, jadi kami akan dapat terus menarik minat mereka dan mungkin mereka akan menjadi pemimpin-pemimpin masa depan dalam pertubuhan ini,” tambah Datin Paduka Hajah Intan.

Dalam pada itu, MKM telah mula menerima pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam bagi program penempatan kerja selama tiga hingga enam bulan bersama MKM yang merupakan Program Outreach Komuniti UBD.

ARTIKEL YANG SAMA