5 perkara diberi tumpuan

5 perkara diberi tumpuan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sebanyak lima keutamaan akan diberikan tumpuan sebagai kesinambungan kepada Perancangan Strategik 2008-2017 Kementerian Perhubungan, kata Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat (gambar).

Dalam mukadimah bagi Kementerian Perhubungan di Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang petang tadi, beliau berkata, keutamaan pertama ialah mengambil strategik pengurusan yang berfokus kepada pengguna yang selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-25 pada tahun 2009 supaya rakyat Baginda mengubah minda untuk mempergiatkan pertumbuhan ekonomi.

“Memandangkan kepada cabaran ekonomi yang dihadapi ketika ini, dan selaras dengan dasar kerajaan pro bisnes untuk berhijrah daripada bergantung sepenuhnya kepada pendapatan minyak dan gas, Kementerian Perhubungan telah mengambil strategi untuk memfokuskan kepada pelanggan.

“Di bawah strategi ini, jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan akan lebih peka kepada keperluan dan jangkaan orang ramai, memahami cita rasa dan aspirasi mereka dan membentuk hubungan yang serasi dan perhubungan yang mesra pelanggan.”

Menurut beliau, proses barisan hadapan dan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) akan lebih telus dan diyakini dengan tujuan untuk memudah cara, meningkatkan integriti, dan prestasi kutipan hasil kerajaan dan mengurangkan tunggakan.

pg01_160318_a

Yang Berhormat Dato Haji Mustappa berkata, keutamaan kedua ialah mengukuhkan rangka kerja regulatori dengan mengemasikini undang-undang dan peraturan dalam perhubungan dengan tujuan untuk melahirkan sistem pengangkutan awam yang teratur, berdisiplin dan selamat.

Kementerian Perhubungan juga, jelas beliau sedang berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan teksi dengan pengenalan sistem teksi bermeter, tempahan melalui sistem ICT, dan struktur tambang yang terkawal dan kompetitif. Ini diharap akan meningkatkan lagi keyakinan terhadap perkhidmatan teksi negara, dan memperbaiki imej negara di mata orang ramai khususnya pelawat-pelawat yang melancong ke negara ini.

“Keutamaan ketiga ialah untuk mencapai keberkesanan dan kecekapan kos dalam pengurusan khususnya dalam rangka perkongsian awam swasta (PPP) atau pengkorporatan. Perkara ini adalah berhubung kait dalam kapasiti jabatan dalam pemberian perkhidmatan dimana permintaan orang ramai semakin bertambah. Dua aktiviti khusus yang menjadi sasaran ialah Penswastaan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan atau Outsourcing of Vehicle Inspection Services dan Pengkorporatan Pengurusan Pelabuhan di Muara.

“Manakala keutamaan keempat ialah peningkatan infrastruktur dimana Kementerian Perhubungan akan terus berusaha menaik taraf prasarana perhubungan dengan tujuan untuk memperluaskan lagi kapasiti dan meningkatkan kelancaran laluan dalam perhubungan.

“Antara projek yang diungkayahkan di bawah kementerian tersebut ialah peningkatan landasan lapangan terbang antarabangsa Brunei dengan tujuan untuk membolehkan pesawat-pesawat yang bersaiz besar terutama pesawat kargo untuk mendarat di lapangan terbang antarabangsa Brunei. Satu lagi projek yang akan diusahakan ialah pembesaran pelabuhan Muara untuk memuatkan banyak lagi kapal untuk berlabuh di tempat berkenaan.”

Yang Berhormat Dato Haji Mustappa berkata, sehubungan dengan itu, Kementerian Perhubungan sedang giat mencari jalan untuk meningkatkan hasil melalui ‘transhipment’ dan berharap untuk bekerjasama dengan pihak Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk membuat kajian ke arah mengorak strategi meningkatkan potensi tersebut sebagai lanjutan kepada kajian mengenai peluang transhipment antara negara-negara BIMP-EAGA.

Menurut Yang Berhormat lagi, keutamaan kelima ialah ‘Persekitaran yang Sihat dan Selamat.’ Dalam usaha kementerian ini untuk memastikan keupayaan memudah cara aktiviti-aktiviti perekonomian, isu keselamatan tidak diabaikan.

“Antara tujuan yang ingin dicapai ialah untuk membudayakan aspek-aspek keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar dengan pengurusan sistem pengangkutan awam.

“Ke arah ini Kementerian Perhubungan telah menubuhkan Bahagian Keselamatan dan Siasatan yang berfungsi sebagai badan untuk membuat penyelarasan dan penyelidikan mengenai seluruh aspek keselamatan dan penyiasatan dalam sistem pengangkutan awam.”

Berhubung dengan keselamatan motor sangkut di negara ini, beliau memaklumkan mengenai penetapan satu Kelas Domestik sebagai piawaian perahu-perahu tempatan yang bertujuan untuk memastikan perahu-perahu yang dibina mengikut piawaian-piawaian dan standard keselamatan yang ditetapkan.

Sementara itu, Jabatan Kaji cuaca juga tidak ketinggalan dalam berusaha untuk meningkatkan kapasiti dalam memberi perkhidmatan menyediakan maklumat cuaca dan iklim yang tepat untuk keselamatan penduduk dan rakyat di Negara ini.

Yang Berhormat Dato Haji Mustappa berkata Kementerian Perhubungan akan terus melaksanakan projek-projek strategik sebagai usaha berterusan ke arah kemajuan ekonomi dengan membuka ruang-ruang perdagangan, meningkatkan ketahanan ekonomi dan menggalakkan persaingan ekonomi yang mapan.

ARTIKEL YANG SAMA