5 perlawanan terbaik Gerrard

5 perlawanan terbaik Gerrard

LONDON – Bekas kapten Liverpool dan England, Steven Gerrard menyatakan sudah tiba masanya beliau menamatkan kerjaya bola sepak gemilangnya di usia 36 tahun. Di bawah ini AFP Sport menyenaraikan lima persembahan terbaik legenda Liverpool itu.

Keajaiban Istanbul (vs AC Milan, perlawanan akhir Liga Juara-juara 2004-05)

Berdepan dengan prospek dimalukan selepas ketinggalan 3-0 kepada AC Milan, Liverpool menghasilkan satu keajaiban untuk memenangi Piala Eropah pertama mereka dalam tempoh 27 tahun, terima kasih kepada Gerrard yang mana usahanya tidak mengenal erti putus asa telah menjadikan beliau seorang ikon Anfield.

Gerrard, yang mengakui bahawa Liverpool di ambang kekalahan ketika rehat separuh masa, telah membantu Liverpool mengejar jaringan 3-0 itu. Beliau telah menjaringkan gol dengan tandukan sebelum berjaya menyempurnakan penalti dan kemudian jaringan penyamaan Liverpool telah dihasilkan oleh Xabi Alonso apabila pasukan kendalian Rafael Benitez menjaringkan tiga gol dalam masa lima minit. The Reds menyelesaikan kejayaan hebat mereka dengan penentuan sepakan penalti, di mana Gerrard menganggap pengalaman itu sebagai yang terbaik dalam hidupnya apabila menjulang piala berprestij itu.

Gerrard (tengah) meraikan jaringannya dalam kemenangan England ke atas Jerman pada tahun 2001. – AP
Gerrard (tengah) meraikan jaringannya dalam kemenangan England ke atas Jerman pada tahun 2001. – AP
Rembatan sejauh 35 ela Gerrard ke atas West Ham dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Millennium, Cardiff. – AP
Rembatan sejauh 35 ela Gerrard ke atas West Ham dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Millennium, Cardiff. – AP

‘Gerrard final’ (vs West Ham, perlawanan akhir Piala FA 2005-06)

Hanya selepas 12 bulan persembahan hebatnya di Istanbul, Gerrard telah mengukuhkan lagi ikonnya sebagai legenda dengan sumbangan besarnya dalam memenangi satu lagi kejuaraan. Ketinggalan 2-0 selepas permulaan yang hambar di Stadium Millennium, Cardiff, Liverpool diangkat semula dalam perlawanan itu oleh kecekalan dan bakat hebat Gerrard.

Beliau membantu Djibril Cisse menjaringkan gol bagi mengurangkan defisit sebelum beliau sendiri menjaringkan gol penyamaan perlawanan, namun Hammers sekali lagi mendahului perlawanan. The Reds hanya beberapa saat lagi menerima kekalahan namun sekali lagi Gerrard muncul sebagai penyelamat dengan rembatan hebat sejauh 35 ela untuk memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan. Liverpool akhirnya menang dalam penentuan sepakan penalti, yang turut disempurnakan oleh kapten Liverpool itu.

Keperwiraan saat-saat akhir aksi Eropah (vs Olympiakos, 2004-05 Liga Juara-juara)

Ketika Rivaldo memberikan pendahuluan mengejut bagi Olympiakos di Anfield dalam pertembungan penentuan peringkat kumpulan, kelihatannya pasukan Benitez ditakdirkan dengan penyingkiran. Tetapi Gerrard bangkit dengan semangat kental yang menginspirasikan Liverpool mengejar jaringan perlawanan. Jaringan daripada Florent Sinama Pongolle dan Neil Mellor telah membatalkan jaringan awal Rivaldo dan pada minit ke-86 Gerrard telah memastikan Liverpool meneruskan ke peringkat kalah mati dengan jaringan cantik dari luar petak penalti. Ia adalah saat yang menjadi kisah di Anfield apabila Liverpool kemudiannya menjadi juara Eropah buat kali kelima pada musim itu.

Gerrard menganggap kemenangan dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara ke atas AC Milan sebagai yang terbaik dalam hidupnya apabila menjulang piala berprestij itu. – AP
Gerrard menganggap kemenangan dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara ke atas AC Milan sebagai yang terbaik dalam hidupnya apabila menjulang piala berprestij itu. – AP
Steven Gerrard (kiri) bersama pengurus Liverpool pada ketika itu, Rafael Benitez, meraikan kemenangan Piala FA ke atas West Ham. – AP
Steven Gerrard (kiri) bersama pengurus Liverpool pada ketika itu, Rafael Benitez, meraikan kemenangan Piala FA ke atas West Ham. – AP

Keistimewaan hatrik derbi (vs Everton, 2011-12 Liga Perdana)

Memasuki penghujung kerjayanya, Gerrard bergelut untuk mendiamkan para pengkritiknya yang mendakwa beliau sudah melepasi prestasi terbaiknya. Tetapi persaingan dengan musuh Merseyside, Everton, secara tipikalnya beliau menghasilkan persembahan terbaik dan itu sekali lagi terjadi di Anfield apabila beliau telah mencatatkan hatrik dalam kemenangan 3-0 dalam derbi itu.

Ia adalah hatrik yang pertama dalam derbi Merseyside sejak Ian Rush menjaringkan empat gol dalam kemenangan 5-0 The Reds di Goodison Park pada tahun 1982 dan kali pertama di Anfield sejak Fred Howe melakukannya untuk Liverpool pada tahun 1935.

Balas dendam The Reds (vs Manchester United, 2000-01 Liga Perdana)

Meskipun Gerrard tidak begitu berjaya menggegarkan Manchester United di persada Liga Perdana di sepanjang kerjayanya, beliau mempunyai beberapa kejayaan individu ke atas musuh lama itu.

Beliau menjaringkan sembilan gol ke atas United dan antara yang paling diingati adalah jaringan jarak jauh melepasi Fabien Barthez bagi membuka jaringan perlawanan dalam kemenangan 2-0, dan memberikan Liverpool kemenangan berganda ke atas musuh ketat mereka dalam tempoh 22 tahun. – AFP