5 produk dicemari racun

5 produk dicemari racun

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa lima produk ubat-ubatan dan kosmetik telah didapati dicemari dengan bahan racun berjadual dan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sampel produk-produk berkenaan telah diperoleh daripada aktiviti pemantauan dalam pasaran di kedai-kedai runcit yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Produk-produk berkenaan adalah Majun Mutiara (pengilang/pengedar: No. 888A, Jalan Besar, Pendang, 06700, Kedah, Darul Aman) didapati dicemari dengan Dexamethasone; Slym 4 You Capsule (Malaysia) dicemari Sibutramine, Spironolactone dan Canrerone; SlimRich Botanical Slimming Capsule 350mg (HM Empire Enterprise) dicemari Sibutramine; Professional Skin Care Formula-Rejuvenating Cream (Filipina) dicemari Hydroquinone; dan Professional Skin Care Formula-Rejuvenating Toner (Filipina) yang dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin.

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya menyatakan, bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Penggunaan kortikosteroid Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Malah, penggunaan kortikosteroid jangka panjang juga boleh mengakibatkan sindrom Cushing yang mana dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

Professional Skin Care Rejuvenating Cream
Professional Skin Care Rejuvenating Cream
Majun Mutiara dicemari dengan Dexamethasone
Majun Mutiara dicemari dengan Dexamethasone

Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.

Sibutramine pula adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati.

Pengambilannya juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Spironolactone adalah sejenis diuretik potassium-sparing yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, kegagalan jantung kongestif dan lebihan kandungan air dalam badan.

Penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kerosakan pada hati, kekeliruan, pening, loya-loya, keletihan, gangguan pada kitaran haid, paras potasium yang meningkat dalam darah yang menyebabkan degupan jantung tidak menentu dan ruam pada kulit hingga menyebabkan ruam berwarna kemerah-merahan dan menular ke bahagian lain badan (dinamakan sebagai sindrom Stevens-Johnson).

Canrenone pula merupakan metabolik aktif bagi spironolactone yang mana kesan sampingannya adalah sakit kepala, pening, kekeliruan, ataksia, ruam pada kulit, keletihan, gangguan pada kitaran haid, mati pucuk, peningkatan pada paras potasium dalam darah dan kerosakan pada hati.

Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan-bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

Professional Skin Care Rejuvenating Toner dicemari Hydroquinone
Professional Skin Care Rejuvenating Toner dicemari Hydroquinone
SlimRich Botanical Slimming.
SlimRich Botanical Slimming.
Kapsul Slym 4 You
Kapsul Slym 4 You

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, kehipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Manakala itu, penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut, dan berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

Orang ramai juga diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian 2393298 sambungan 208, e-mel pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau pergi terus Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA