5 produk kosmetik dicemari merkuri

5 produk kosmetik dicemari merkuri

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Lima lagi produk kosmetik telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat dan membahayakan kesihatan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Hasil daripada ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi telah mendapati produk Collagen Gold – Day & Night Cream, Super Cream Mutiara, Natural 99 King, New Original Dr – Dokter Pemutih Day Cream Bleaching Whitening Cream (White Colour) dan New Original Dr – Dokter Pemutih Night Cream dicemari dengan merkuri.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan telah ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Collagen Gold - Day & Night Cream.
Collagen Gold – Day & Night Cream.
Natural 99 King Bleaching Whitening Cream (White Colour).
Natural 99 King Bleaching Whitening Cream (White Colour).

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan berkata, ia tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta.

Jika mereka mengalami kesan memudaratkan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

New Original Dr - Dokter Pemutih Day Cream and Night Cream.
New Original Dr – Dokter Pemutih Day Cream and Night Cream.
Super Cream Mutiara.
Super Cream Mutiara.

Mereka yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007, untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA