5 projek tingkat kualiti elektrik

5 projek tingkat kualiti elektrik

KOTA KINABALU, 23 Nov – Kerajaan meluluskan lima projek di kawasan pantai timur Sabah bagi menampung dan menyokong sistem penjanaan, serta meningkatkan lagi kualiti penyampaian sistem tenaga elektrik di seluruh kawasan itu, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata kerajaan pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) yang dipengerusikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili Ogos lepas memberikan kelulusan terhadap projek yang sedang dan akan dilaksanakan itu.

“Projek berkenaan adalah projek pemindahan tarbin gas Melawa 18 megawatt (MW) ke pantai timur Sabah yang dijangka siap pada 2017/2018 dan projek loji jana kuasa baharu berkapasiti 30MW di Lahad Datu yang dijangka siap pada April 2018.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bersama dua Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) dan Datuk Yahya Hussin (kiri) membincangkan sesuatu sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin. – Bernama
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bersama dua Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) dan Datuk Yahya Hussin (kiri) membincangkan sesuatu sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin. – Bernama

“Projek loji jana kuasa baharu berkapasiti 60MW di Kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit, Sandakan pula dijangka mula beroperasi April 2019 selain projek loji jana kuasa kitar padu gas di tempat sama akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2018 sehingga 2020/2021.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata projek di bawah pembangunan sumber tenaga diperbaharui (RE) di bawah skim Feedin Tarif dan Large Scale Solar (LSS) yang meliputi loji biomass, biogas, mini hidro dan geoterma telah dan sedang dilaksanakan di kawasan pantai timur Sabah bermula 2012 hingga 2018.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Au Kam Wah (BN-Elopura) berhubung status terkini terhadap penambahan loji penjanaan kuasa 330MW di pantai timur Sabah. – Bernama