5 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat

5 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat

BAITULMAQDIS, 15 Feb – Lima rakyat Palestin, termasuk tiga remaja terbunuh ketika cuba menyerang warga Israel semalam dalam rentetan serangan di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Ia insiden terbaru dalam siri serangan membabitkan pisau, senjata dan rempuhan kereta oleh Palestin yang meletus sejak Oktober lalu susulan lawatan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Samantha Power ke Israel dan wilayah Palestin untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin kedua belah pihak.

Dalam kejadian pertama, dua remaja berusia 15 tahun menyerang peronda Israel di barat kota Jenin dengan batu sebelum menembak tentera dengan senapang, kata satu kenyataan tentera.

“Pasukan itu bertindak dengan menembak ke arah penyerang, menyebabkan mereka mati,” katanya.

Kementerian Kesihatan Palestin mengenalpasti remaja yang terbunuh sebagai Nihad Waked dan Fuad Waked.

Hari sama, seorang Palestin cuba menikam polis sempadan Israel di antara Baitulmaqdis dan Baitullaham di Tebing Barat sebelum ditembak mati, kata pihak berkuasa Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin mengenalpasti penyerang sebagai Naim Safi, 17, penduduk sebuah kampung dekat Baitullaham.

Seorang lagi wanita muda Palestin yang cuba menikam polis Israel ditembak dekat bandar Hebron di Tebing Barat, kata polis Israel. Penyerang dikenali sebagai Yasmin al-Zaru, 20, mati sebaik tiba di hospital. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA